Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Kementarian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan satu produk kesihatan dan satu produk kosmetik yang telah didapati tercemar dengan bahan terlarang atau bahan racun berjadual yang tersenarai di dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan.
Dapatan tersebut adalah hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan produk kesihatan berkenaan adalah HKT Herba Kurus Tradisi yang dikilang oleh Qayra Beauty Empire yang dicemari dengan sibutramine.
Manakala produk kosmetik berkenaan ialah RISSA SKIN Skin Treatment Losyen, dikilangkan di Malaysia, yang dicemari dengan tretinoin. Bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Menurut kenyataan, sibutramine merupakan agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana boleh memudaratkan jantung dan hati.
Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.
Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit. Penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.
Dalam pada itu, surat pengakuan notifikasi bagi produk kosmetik yang dinyatakan telah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan. Berikutan dapatan ini, produk-produk tersenarai di atas adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Oleh yang demikian, orang ramai yang telah membeli atau memakan atau menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk menghentikan pengambilannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan teruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.