Thursday, May 2, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Produk kosmetik dicemari bahan terlarang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan satu produk komestik yang didapati dicemari dengan bahan-bahan terlarang yang tidak disytiharkan, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa produk kosmetik yang dicemari adalah MS GLOW-DARK SPORT SERUM daripada pengilang, PT KOSMETIKA GLOBAL, INDONESIA di mana produk berkenaan didapati dicemari oleh Hydroquinone dan Tretinoin.

    Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan hipersensitiviti, perubahan warna kulit di bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2392201 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Produk kosmetik yang dicemari, MS GLOW-DARK SPORT SERUM daripada pengilang, PT KOSMETIKA GLOBAL, INDONESIA yang didapati dicemari oleh Hydroquinone dan Tretinoin. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 36

    GUANGZHOU, 2 MEI - Angka kematian akibat sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China runtuh meningkat kepada 36 orang, kata pihak berkuasa tempatan,...