Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Xi, Biden adakan perbualan telefon

    BEIJING, 3 APRIL – Presiden China Xi Jinping mengadakan perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, kelmarin.

    Xi berkata isu persepsi strategik sentiasa bersifat dasar bagi hubungan China-AS. Sebagai dua kuasa besar, China dan AS tidak boleh memutuskan pergaulan atau berkonflik dan berkonfrontasi.

    Dua negara perlu saling menghormati, hidup bersama secara damai dan menjalankan kerjasama saling untung. Hubungan bilateral harus terus melangkah ke hadapan mengikut jalan yang stabil, sihat dan mampan.

    Beliau turut memberi penekanan tentang beberapa prinsip utama bagi hubungan China-AS pada tahun ini, iaitu menjunjung kedamaian, mengutamakan kestabilan dan mengekalkan kebolehpercayaan.

    Menyentuh mengenai rentetan tindakan AS untuk menyekat pembangunan perdagangan dan teknologi China, Xi menyifatkan amalan seumpama itu bakal mencetuskan risiko.

    Menurut beliau pintu China adalah sentiasa terbuka sekiranya AS sedia menjalankan kerjasama saling untung. Sebaliknya, China tidak akan duduk berdiam diri jika AS berdegil mahu menyekat pembangunan teknologi tinggi dan mencabuli hak pembangunan China.

    Sementara itu, Biden berkata hubungan AS-China merupakan hubungan bilateral paling penting di dunia.

    Beliau mengulangi bahawa AS tidak ingin mencetuskan ‘Perang Dingin baharu’ dan tiada niat untuk mengubah sistem China atau menentang China menerusi pengukuhan hubungan sekutu.

    AS juga tidak menyokong ‘kemerdekaan Taiwan’ dan tidak mahu berkonflik dengan China.

    Kata beliau pembangunan China bermanfaat kepada dunia. AS tidak menyasar mengekang pembangunan China atau ‘’mencantas hubungan” dengan negara Tembok Besar.

    AS akan mengatur lawatan Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dan Setiausaha Negara Antony Blinken ke China dalam masa terdekat bagi memperkasa komunikasi dan kerjasama, sekali gus memantapkan perkembangan hubungan dua hala dan bersama-sama menangani cabaran global. – Bernama

    Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bersalaman dengan Presiden China, Xi Jinping di Filoli Estate di Woodside, California, 15 November 2023, di luar persidangan Koperasi Ekonomi Asia Pasifik. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...