Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Marshmallow Hot Choco iaitu produk minuman jenama Hershey’s yang ada dijual di beberapa buah pasar raya negara ini telah didapati mengandungi bahan tidak halal iaitu gelatin yang bersumberkan daripada khinzir.
Dapatan itu diperolehi melalui pengesahan daripada syarikat pengeluar produk berkenaan iaitu MISUNG Family Co Ltd, Korea, setelah dihubungi oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) apabila menerima aduan orang awam yang meragui status kehalalan produk terbabit.
Oleh itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, JHES telah mengarahkan pemilik pasar raya untuk mengasingkan semua produk keluaran MISUNG Family Co Ltd, Korea dengan serta-merta di ruang bahagian tidak halal yang tidak terdedah kepada penjualan awam.
Menurut syarikat pengeluar produk, dehydrated marshmallow yang digunakan sebagai salah satu bahan produk tersebut adalah sah mengandungi gelatin yang bersumberkan daging khinzir.
Sehubungan dengan itu, semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan serta-merta jika terdapat produk yang sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.
KHEU juga mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.
Bagi sesiapa yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke JHES melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) dengan menghubungi talian 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.