Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Seramai 12 orang pelajar keusahawanan tahun akhir Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura menyertai Program Pertukaran Global (GEP) yang diadakan oleh Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH bermula hari ini hingga 30 Mac.
Para pelajar yang diiringi oleh dua orang guru mereka menghadiri majlis perasmian program tersebut di Ibu Pejabat Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini.
Hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Pusat SEA-MEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar menjelaskan bahawa program ITE-GEP ialah satu inisiatif yang bertujuan untuk mewujudkan peluang bagi pelajar ITE mendapatkan pandangan dunia tentang pendidikan, serta membangunkan keyakinan diri dan berdikari untuk berkembang maju dalam ekonomi global.
Melalui pelbagai program yang berbeza, tambah beliau, GEP berfungsi untuk mendedahkan pelajar kepada budaya, persekitaran dan aktiviti yang berbeza ke bahagian penting dalam pendidikan holistik.
Majlis dimulakan dengan sesi mengenai Taking Bold Steps, Taking Calculated Risks yang ahli-ahli panelnya terdiri daripada pengusaha tempatan dalam usaha menyediakan pelajar dengan lebih banyak pandangan dan pengetahuan yang mendalam tentang keusahawanan di negara ini.
Ahli panel termasuk, Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC), Brunei Darussalam, Dayang Adna Shatrariremie binti Haji Abdul Rahman; dan pengasas Kunyit 7 Lodge, Dayangku Kemariah binti Pengiran Haji Duraman; Dayang Noor Hafizah binti Haji Rashid dari Projek Big BWN; Sri Anne Masri dari Remittance@Seconds; dan Tsung Poh Yee dari Taurean Bakeshop.
Selepas sesi perkongsian, delegasi ITE mengambil bahagian dalam lawatan pendidikan ke IBTE-YES Centre, Entrepreneurship Village dan Shell LiveWIRE.