Sunday, November 24, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program JOM 5 bina sifat kepimpinan, daya tahan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Belia Masjid Ash-Shaliheen

    Masjid merupakan pusat kegiatan umat Islam di mana mereka dapat berkumpul untuk beribadah dan memperoleh ilmu agama.

    Selain itu, masjid juga memainkan peranan penting dalam membentuk dan membangunkan komuniti Islam yang lebih baik.

    Salah satu elemen penting dalam masjid adalah belia masjid. Belia masjid merupakan golongan muda yang terlibat secara aktif dalam kegiatan-kegiatan masjid seperti menguruskan acara, menyampaikan khutbah dan ceramah, dan mengajar anak-anak.

    Peranan belia masjid sangat penting dalam membina dan memperkuat komuniti masjid.

    Sehubungan itu, sempena cuti persekolahan bulan Ramadan, kumpulan Syababul Iman dan Takmir Masjid Sultan Sharif ‘Ali Kampung Sengkurong dengan kerjasama beberapa belia masjid lainnya seperti Ashabul Akhyar, Ashabul Haliim, Belia Masjid Ash-Shaliheen, Syababurroja’ dan Syababussalam telah menganjurkan Program Perkhemahan Belia Journey of a Muslim V (JOM 5) baru-baru ini, bertemakan Best in You selama tiga hari dua malam, yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif ‘Ali, Kampung Sengkurong.

    Seramai 77 orang peserta telah menyertai program tersebut yang terdiri daripada para pelajar berumur 17 hingga 23 tahun yang juga memegang jawatan kepimpinan di sekolah masing-masing seperti majlis perwakilan pelajar (MPP), prefek dan sebagainya.

    Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut.

    : Antara belia yang menghadiri program tersebut di Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong.

    Adapun objektif perlaksanaan program tersebut adalah bagi membina sifat kepimpinan dan daya tahan dalam kalangan belia dan membekalkan mereka dengan ilmu duniawi dan ukhrawi.

    Selain itu, program itu juga diharap dapat memberi pendedahan kepada para belia dengan suasana keagamaan bagi mengimarahkan masjid.

    Di samping itu, melalui program tersebut juga dapat melahirkan belia proaktif dalam mengisi masa cuti persekolahan dan masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

    Belia masjid juga dapat membantu dalam menggerakkan komuniti untuk melakukan kegiatan sosial dan amal. Mereka boleh mengambil inisiatif untuk mengumpulkan sumbangan bagi membantu orang miskin atau menyediakan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana.

    Dengan melakukan kegiatan-kegiatan seperti ini, belia masjid dapat membina rasa kebersamaan dan persatuan dalam komuniti masjid.

    Peranan belia masjid juga penting dalam memastikan kelestarian institusi masjid.

    Manakala dengan keterlibatan secara aktif dalam pengurusan masjid, belia masjid dapat memastikan kebersihan dan kelestarian bangunan masjid, serta membantu dalam pengurusan kewangan masjid. Ini akan membantu memastikan keberlangsungan masjid sebagai pusat aktiviti dan pusat keagamaan bagi umat Islam.

    Pada perkhemahan itu, antara aktiviti yang diselitkan adalah ceramah, bengkel kerohanian, latihan dalam kumpulan, aktiviti kesenian Islam, kemasyarakatan, kemahiran diri dan sebagainya.

    Program tersebut juga turut dijayakan dengan beberapa sumbangan juadah sahur dan sungkai dari beberapa restoran di negara ini seperti Pondok Sari Wangi, Raziqin, CA Mohamed, Soto Haji Tuah, HTC, Nasta’een dan sumbangan daripada orang ramai.

    Justeru, melalui program tersebut, pihak penganjur berharap ia akan menjadi titik permulaan bagi para peserta untuk berhijrah ke arah pembentukan diri belia Islam dan siap siaga membuka minda bagi berdepan dengan pelbagai cabaran pada era globalisasi ini.

    Program seumpama ini diharapkan dapat kekal berterusan bukan sahaja diungkayahkan pada bulan Ramadan, bahkan juga pada bulan-bulan lainnya, dalam usaha untuk mempertingkatkan jati diri belia di samping mendekatkan mereka dalam acara keagamaan dan kemasyarakatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda