Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Program K2P2I 5.0 bentuk pemimpin masa depan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Program Kepemimpinan Pelaku Pembangunan Islam Siri ke-5 (K2P2I 5.0) bagi mahasiswa-mahasiswi dan alumni Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi tahun 2023 telah melabuhkan tirainya di Majlis Penutup Program K2P2I 5.0 di Dewan Perkampungan Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah Pemangku Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Awang Muhammed Sahrin bin Haji Masri.

    Turut hadir ialah jemputan-jemputan khas iaitu Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Mohd Marisswandi bin Haji Omar dan Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr Norhazerah binti Baha, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta peserta-peserta program.

    Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi K2P2I 5.0, Awang Muhd Nur Amir Zakwan bin Bungsu. Majlis seterusnya diikuti dengan ucapan daripada wakil peserta K2P2I 5.0, Awang Mohammad Aiman Daniel bin Mohd Haffiz dan ucapan utama serta penghargaan daripada tetamu kehormat majlis.

    Tetamu kehormat majlis dalam ucapannya menekankan mengenai kemajuan sebuah negara yang sangat bergantung pada usaha bersama pemimpin, pentadbir, dan seluruh lapisan masyarakat dan juga golongan belia yang memiliki peranan sebagai generasi penerus yang perlu memiliki kemahiran dan kebergunaan holistik.

    Selain itu, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menyerukan pemimpin yang efektif untuk menangani isu-isu sosial. Oleh itu, mahasiswa dan mahasiswi di UNISSA, khasnya FPPI, perlu menjadi generasi muda yang holistik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai moral yang kukuh untuk membantu mencapai matlamat negara dan masa depan yang cerah.

    Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan dan aplikasi ilmu kepemimpinan Islam yang berlandaskan konsep Hablu Min Allah, Hablu Min al-Nas, dan Hablu Min al-’Alam kepada para peserta, iaitu dengan mengambil contoh daripada pemimpin Islam seperti Sayyidina Umar Al-Khattab, yang menjaga hubungannya dengan Allah, peduli terhadap kesejahteraan orang lain, dan memelihara lingkungan sekitar.

    Majlis diteruskan dengan sebuah tayangan video Selayang Pandang K2P2I 5.0 yang merangkumi segala aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang empat hari program itu dijalankan.

    Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada wakil peserta K2P2I 5.0 dan juga penyampaian cenderamata kepada para jemputan khas yang telah menyertai acara tersebut.

    Awang Muhammed Sahrin menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada salah seorang jemputan khas. – Gambar serahan UNISSA
    Awang Muhammed Sahrin bergambar ramai bersama para tetamu dan mahasiswa-mahasiwi yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar serahan UNISSA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...