Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Keluarga kurang berkemampuan terima sumbangan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebuah keluarga kurang berkemampuan di Kampung Junjongan, Mukim Pangkalan Batu telah menerima sumbangan sistem penuaian air hujan dan tenaga suria, hari ini.

    Sumbangan berkenaan merupakan Projek Jangkauan Masyarakat yang dikendalikan oleh Kumpulan al-Mathar wa al-Syams daripada Program Pembangunan Eksekutif untuk Pegawai Kanan Kerajaan ke-30 (EDPSGO-30) dengan dukungan Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dalam usaha untuk memupuk sikap pemedulian dan perpaduan sesama kalangan masyarakat.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.

    Turut hadir ialah Presiden Society for Community Outreach and Training (SCOT), Awangku Mohd Nur Arjun ‘Azhim bin Pengiran Julkifli; Ketua Kampung Junjungan, Haji Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang dan Tan Kheng Soon dari Shahjahan & Shah Sdn Bhd, pemasang sistem penuaian air hujan.

    Penerima sistem penuaian air hujan yang dipasang dan dua panel suria untuk lampu rumah berkenaan ialah Awang Omardani bin Haji Abdul Rahman yang diwakili oleh isterinya, Dayang Taisah binti Haji Hidup.

    Yang Berhormat Awang Zainol bergambar ramai semasa majlis penyampaian sumbangan projek berkenaan di Kampung Junjongan, kelmarin. – Gambar serahan Kumpulan al-Mathar wa al-Syams

    Pada majlis berkenaan, Ketua Kumpulan al-Mathar wa al-Syams, Awang Shahrizal bin Haji Emran, dalam ucapannya menyatakan mengenai gangguan bekalan elektrik di Brunei baru-baru ini dan bagaimana inisiatif itu dapat membantu orang ramai dalam melestarikan bekalan air yang tidak mencukupi atau dalam menangani gangguan elektrik yang berpanjangan.

    Beliau menyatakan lagi bahawa curahan air hujan di Brunei boleh dikatakan sangat tinggi dan tidak tercemar dan cara paling mudah untuk menyambut air hujan adalah melalui bumbung rumah.

    Sementara itu, Awangku Mohd Nur Ajrun ‘Azhim amat menghargai bantuan murni yang diberikan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan dan bersetuju agar lebih banyak aktiviti seumpama itu dijalankan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai keluarga.

    Beliau juga membuat komitmen untuk menyediakan bantuan berterusan bagi kedua-dua keluarga dengan saling berkomunikasi dengan mereka dan menolong mereka menyelenggarakan sistem yang dipasang secara mampan.

    Menurut kumpulan berkenaan, seorang lagi penerima sistem tenaga suria ialah Dayang Norhayati binti Haji Mohammad untuk rumahnya di STKRJ Kampung Sungai Buloh, yang menggunakan peralatan elektrik untuk perniagaan kecil-kecilan beliau dalam membuat kek.

    Melalui pemasangan sistem panel suria di rumahnya itu, beliau boleh menjimatkan sehingga 80 peratus daripada bil elektriknya setiap bulan. Quaezar Engineering and Construction dan DSC Engineering Company Sdn Bhd, adalah dua syarikat yang terlibat dalam pembekalan dan pemasangan sistem tenaga suria tersebut.

    Sekitar 10 buah syarikat dan seorang individu menyertai projek itu sebagai penaja, antaranya ialah Hiew H Y Sdn Bhd, LKA Consult Sdn Bhd, CablesOne Engineering Sdn Bhd, Brusin Trading Company Sdn Bhd, Hasrat Teguh Sdn Bhd, Zulkader & Company, Megabina Group, Altron Services, China Construction Continent & Ocean (B) Sdn Bhd, ITIS Wescot Technology Sdn Bhd dan seorang individu tanpa nama.

    Kumpulan itu juga menjalankan kaji selidik untuk mengukur pendapat orang ramai tentang daya kemampanan sistem penuaian air hujan dan tenaga suria sebagai pilihan tenaga yang
    cekap.

    Hasil kajian mendapati 88 peratus daripada responden bersetuju bahawa penuaian air hujan boleh menjimatkan 40 hingga 50 peratus daripada bil air. Walaupun 97 peratus belum memasangnya, 60 peratus menyatakan minat jika bantuan kewangan tersedia.

    Begitu juga, 56 peratus bersetuju bahawa kuasa solar boleh menjimatkan kewangan untuk bil utiliti mereka, tetapi 98 peratus tidak mempunyai panel suria dan 67 peratus menyatakan minat jika ada bantuan kewangan.

    Projek itu bermatlamat untuk mengongsikan maklumat mengenai pentingnya menggunakan penuaian air hujan dan tenaga suria sebagai sumber air dan tenaga alternatif, mengumpul dan menyimpan air hujan melalui sistem penuaian air hujan untuk aktiviti perniagaan tani kecil, kegunaan persendirian keluarga dan usaha lain, untuk mengurangkan pergantungan kepada air paip dan pengurangan bil air, mengenal pasti dan melaksanakan langkah penggunaan tenaga alternatif yang boleh mengurangkan penggunaan tenaga dari grid kerajaan dan bagi pengurangan bil elektrik serta membantu keluarga yang memerlukan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...