Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Keagamaan Senegara semarak HK-41

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke 41 (HK-41), Jabatan Pengajian lslam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini mengadakan Program Keagamaan Senegara yang disertai oleh sekolah-sekolah agama Arab seluruh negara secara dalam talian.

    Program diadakan untuk mengukuhkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah Arab dan agama.

    Hadir selaku tetamu khas majlis pada sesi petang ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Hajah Mariana binti Haji Jamil yang tertumpu di Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil.

    Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Mulk yang diketuai oleh Awang Muhammad Ulfi Razin bin Ariffin secara langsung dalam talian dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Khas Hari Kebangsaan oleh Awang Mohd Asnawi bin Haji Sharbini dari Sekolah Ugama Katimahar.

    Majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah bertajuk Brunei Darussalam: Menuju Ke Arah Kemerdekaan yang disampaikan oleh tiga orang panel dari KKBS iaitu Pemangku Timbalan Pengetua PSB, Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh; Pegawai Sejarah, Bahagian Pameran dan Perkhidmatan, PSB, Dayang Farhaina bin Anchong; dan Unit Pemeliharaan, Bahagian Pengkajian Borneo, PSB, Awang Muhammad Hefni bin Mahari.

    Majlis ditutup dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Awang Muhammad Amjad @ Muhammad Azhad bin Alias dari Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil.

    Dalam pada itu, program serupa juga dilaksanakan pada sesi pagi yang dihadiri oleh Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), JPI, Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan selaku tetamu khas majlis di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.

    Hajah Mariana hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Tiga orang panel dari KKBS semasa sesi tazkirah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Suasana semasa program berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda