Monday, November 25, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah bermula

    KOTA KINABALU, 18 OKT – Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Likas, menyediakan pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat kepada pengunjung.

    Menyasarkan 400,000 pengunjung, program itu antaranya menyediakan 215 Perkhidmatan Touchpoint Rakyat, 28 perkhidmatan melibatkan kos sara hidup dan pelbagai aktiviti untuk belia.

    Program bertemakan Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 2:30 petang esok.

    Zon Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.

    Bagi Zon Sabah, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

    Membawa perkhidmatan kerajaan MADANI kepada rakyat Sabah, pelbagai perkhidmatan ditawarkan kepada pengunjung seperti kemudahan bayar saman dengan diskaun hingga 50 peratus dan menukar topi keledar lama untuk 5,000 pengunjung terawal.

    Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun hingga 30 peratus di samping Jualan Agro MADANI,  pameran aset keselamatan, pemeriksaan kesihatan, kempen beli barangan buatan Malaysia dan jualan trak makanan turut diadakan.

    Selain itu kira-kira 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan 14 majikan juga menanti pengunjung dan penduduk Sabah. – Bernama

    Pengunjung program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah semasa mengikuti pembentangan bajet 2024 dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui skrin di ruang pameran pada 18 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda