Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi diadakan setiap tahun, dan pada masa ini program tersebut sudah pun berlangsung tujuh siri yang melibatkan 116 belia.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menyatakan perkara itu bagi menjawab persoalan mengenai bantuan pakej yang dihulurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman di Dewan Majlis hari ini.
Yang Berhormat Pehin berkata bahawa jika bantuan seperti diberi tanah, pinjaman kewangan, nasihat pakar, bantuan infrastruktur asas, baja dan sebagainya tidak dihulurkan, adalah sukar bagi belia lepasan universiti atau sekolah untuk menjadi peladang, kecuali mereka yang mempunyai sumber kewangannya sendiri.
“Sebagaimana yang kita tahu, hasil pertanian bukan dapat dinikmati serta merta, ia memakan masa. Jadi sementara ini, bagaimana mereka akan menyara hidup, jika mereka berkeluarga untuk menyara keluarga mereka,” jelas beliau lagi.
Dalam hal itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menjelaskan lanjut bahawa program pendedahan itu menyediakan pengenalan mengenai bagaimana untuk bertanam, pakej-pakej seperti projek rintis di mana tanah akan disediakan dalam dua hektar untuk memulakan perusahaan mereka.
“Di samping itu, pihak kementerian bekerjasama dengan pihak Darussalam Enterprise (DARe) dan Bank Usahawan untuk memperkenalkan mereka,” kongsi beliau. Pada masa ini, ia bukan sahaja bagi pengusaha-pengusaha pertanian, malah pengusaha-pengusaha agrimakanan, pelancongan dan perusahaan kayu (hiliran), ujarnya lagi.
Menurut beliau, ia dianjurkan secara proaktif dengan kerjasama pihak DARe bagi membolehkan mereka, terutamanya start-up golongan muda untuk memulakan perusahaan dalam bidang sumber-sumber utama.
“Kebanyakannya pengusaha agrimakanan dan perusahaan kayu berusaha di rumah, jadinya usaha kementerian adalah untuk meningkatkan standard mereka dan memindah mereka ke tempat yang lebih sesuai agar mereka dapat lebih selesa dan kondusif bagi mereka untuk mengusahakan produk-produk perusahaan,” tambah beliau.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/03/P4-1a-Pengusaha-ladang-AS_16032023.jpg)