Tuesday, March 18, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program perhutanan masyarakat tingkat kesedaran orang asli

    JELEBU – Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan akan mewujudkan Program Perhutanan Masyarakat bersama Orang Asli bagi meningkatkan kesedaran dan kerjasama dalam usaha pemuliharaan hutan simpan di negeri ini.

    Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata masyarakat Orang Asli perlu mengetahui dan memahami undang-undang serta peraturan berkaitan hutan simpan, sekali gus dapat menangani isu berkaitan pencerobohan hutan simpan di negeri ini.

    Katanya kira-kira 23 peratus keluasan tanah atau 155,143 hektar di negeri itu merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diwarta di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dan diurus secara berkekalan bagi memastikan sumbangan optimum kepada pembangunan negeri.

    “Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mengadakan perjumpaan dengan semua Tok Batin bagi memberi penjelasan terhadap mereka.

    “Orang Asli anggap hutan ini adalah tanah mereka, kita bukan nak halang masyarakat Orang Asli untuk masuk ke hutan simpan tetapi mahu mereka sedar kepentingan mengurus dan menjaga hutan simpan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Beliau berkata program perhutanan masyarakat ini bagi mengalakkan orang Asli mengurus hutan, namun bukan dalam konteks pemilikan, maka kerjasama dengan Jakoa negeri akan mengenal pasti kawasan teroka yang sesuai untuk dibangunkan di bawah program berkenaan.

    Menurut Saleh, inisiatif ini dapat membantu Orang Asli memperoleh hasil di hutan dan pada masa sama mengekalkan kawasan itu sebagai kawasan hutan simpan.

    “Kita juga membenarkan aktiviti yang dikawal bermaksud jabatan ada program tanam ubat-ubatan tradisional seperti kacip fatimah, tongkat ali dan tanam pokok buah-buahan hutan seperti jering, kerdas, petai, tampoi dan asam gelugur,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka di kawasan santuari ikan kelah Taman Negeri Kenaboi yang sedang dibangunkan bagi memastikan sumber asli di kawasan itu dijaga dan dipulihara dengan baik. – Bernama

    Pemandangan aliran sungai yang jernih dan masih terjaga di dalam kawasan Taman Negeri Kenaboi, baru-baru ini. – Bernama
    Sekumpulan serangga kupu-kupu yang terdapat di dalam kawasan Taman Negeri Kenaboi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda