Oleh Salawati Haji Yahya
BELAIT, 25 JAN – Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kemahiran berkomunikasi dan interpersonal yang baik untuk kemajuan organisasi, 91 kakitangan awam dalam bahagian II, III, IV dan V yang bertugas di Daerah Tutong dan Daerah Belait telah mengikuti Program Outreach Pembelajaran Luar Daerah (PLD).
Pemangku Penolong Pengarah Institut Perkhidmatan Awam dan Pegawai Latihan Kanan, Hajah Dayang Maimunah binti Haji Awang Hussin semasa berucap pada pembukaan program itu, antara lain menjelaskan bahawa program berkenaan akan dapat meningkatkan motivasi untuk meningkatkan produktiviti di jabatan masing-masing.
“Institut Perkhidmatan Awam (IPA) berharap dengan mengadakan PLD seumpama ini akan dapat membantu dalam pengurusan kerja melalui hubungan jaringan kerja dalam kalangan warga perkhidmatan awam dengan menerapkan nilai-nilai murni,” jelasnya.
Program PLD yang berlangsung sehingga 25 Januari berkenaan adalah salah satu inisiatif Kluster Pengurusan sebagai salah satu pendekatan outreach bagi mendedahkan latihan kepada warga perkhidmatan awam di luar daerah.
Dengan adanya pendekatan itu, ia dihasratkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seterusnya memiliki kebolehan dan kaedah yang efektif untuk meningkatkan produktiviti dan membawa perubahan dalam organisasi.