Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Program RTG ‘batu loncatan’ buat Mohamad Aniq

    KUALA LUMPUR, 1 NOV – Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan mahu menjadikan pemilihannya dalam program Road To Gold (RTG) sebagai ‘batu loncatan’ dalam misi memburu emas sulung negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, kelak.

    Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bagaimanapun mengakui tidak menyangka tersenarai dalam program berkenaan dan kini memikul tanggungjawab berat untuk membalas kepercayaan yang diberikan jawatankuasa RTG. 

    “Saya terkejut namun gembira apabila banyak kemudahan yang akan diperoleh. Saya yakin pemilihan ini pembakar semangat buat rakan seperjuangan lain untuk bersama-sama berusaha sehabis baik selepas ini untuk memartabatkan sukan angkat berat. 

    “Namun, saya masih belum tahu bila akan berjumpa dengan komuniti RTG, mungkin dalam masa terdekat perjumpaan itu akan diadakan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

    Ditanya mengenai kemudahan yang akan diminta dalam program RTG, badang negara berusia 21 tahun itu berkata beliau mahu mendapatkan servis sokongan seperti khidmat tukang urut yang lebih konsisten setiap kali menyertai kejohanan antarabangsa daripada Institut Sukan Negara (ISN). 

    Mohamad Aniq memaklumkan masih berbaki tiga kejohanan kelayakan Olimpik yang akan disertainya iaitu Kejohanan IWF Grandprix II di Qatar (4-14 Dis 2023), Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3-10 Feb  2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2-12 April 2024).

    Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat bersyukur apabila pencapaian Mohamad Aniq di pentas antarabangsa ‘membuka mata’ jawatankuasa RTG untuk memberi peluang buat sukan berkenaan duduk sebaris bersama sukan popular lain. 

    Beliau berkata pemilihan itu pastinya memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada yang dinikmati badang negara berkenaan yang sudah pun berada dalam Program Podium sejak 2022. – Bernama

    Aksi Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 55 kilogram semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NTC 1. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...