Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Seramai 45 mualaf dari keempat-empat daerah di negara ini menghadiri Program Tarbiyah Bersama Mualaf bertajuk Fiqh Ibadah Haji dan Umrah di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, hari ini.
Program berkenaan yang dikendalikan oleh Pusat Dakwah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) yang antara lain bertujuan sebagai satu aktiviti ulangkaji, di samping untuk memberikan pendedahan mengenai situasi sebenar di Tanah Suci dan panduan Ibadat Haji dan Umrah kepada para peserta secara teori dan praktikal.
Selain itu, untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan yang berkaitan dengan ibadah sembahyang serta amalan fardhu ‘ain bagi memastikan amal ibadah dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Program tarbiyah pada sesi pagi disampaikan oleh Pengiran Haij Redhuan bin Pengiran Badaruddin manakala praktikal ibadah dikendalikan oleh guru-guru pembimbing daripada pihak penganjur program berkenaan.