Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB), dengan kerjasama Lotus Light Charity Society (LLCS), baru-baru ini telah menganjurkan Program Titian Amal ke Pulau Berambang bersempena menjelang bulan Ramadan pada tahun ini.
Program berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi Kebajikan dan Kemasyarakatan PKTLB, Awang Abidin bin Haji Musa dengan kerjasama bersama Pengerusi LLCS, Yeo Tiong Lok dan juga Majlis Perundingan Kampung Menunggol.
Sumbangan bantuan tersebut telah diagihkan kepada lima buah kampung di Pulau Berambang iaitu Kampung Menunggol, Kampung Menunggol Tengah, Kampung Menunggol Laut, Kampung Buang Piai dan Kampung Riong.
Semasa program dijalankan, sebanyak 30 orang penerima dan juga 11 orang anak-anak yatim terpilih telah menerima sumbangan bantuan dari segi makanan asasi seperti beras, minyak dan lain-lain bagi meringankan keperluan perbelanjaan dalam penyediaan keperluan keluarga pada bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan juga dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.
Sumbangan bantuan berkenaan adalah hasil daripada pelbagai pihak yang berkolaborasi dengan pihak PKTLB, terutama sekali LLCS dan juga daripada orang-orang persendirian.
Dalam masa yang sama, inisiatif itu juga mendapat sokongan padu daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), jabatan-jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung dari keempat-empat buah daerah serta orang-orang persendirian.
Adapun objektif program itu adalah untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan bebanan mereka dengan menyumbangkan makanan asasi dan juga barangan yang diperlukan untuk penggunaan orang kurang upaya seperti tongkat, kerusi roda dan sebagainya.
Dalam pada itu, PKTLB juga berharap dengan inisiatif itu dapat memberi kesedaran kepada semua ahli-ahli yang terlibat terutamanya kepada belia-belia yang mengikut program tersebut serta ramai lagi NGO yang lain akan bersemangat untuk memulakan program seumpamanya.