Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Seramai 15 kanak-kanak dari Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) dan 25 orang anak yatim di bawah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) bersama penjaga mereka diraikan dalam majlis bersungkai anjuran Progresif Sdn Bhd di McDonald’s Lambak, hari ini.
Majlis dimulakan dengan ceramah motivasi yang menjelaskan akan keindahan Ramadan dan Hari Raya, yang telah disampaikan oleh Awang Loqman Hamdan diikuti dengan penyampaian sumbangan dan seterusnya bacaan tahlil.
Di samping itu, Progresif menyediakan set Happy Meal untuk setiap kanak-kanak di samping menerima bungkusan raya dan pek hadiah yang mengandungi aneka biskut, snek, dan juadah manis bagi menyambut perayaan Aidilfitri nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dipetik berkata, “Kami percaya kepada kuasa masyarakat dan menjadi tanggungjawab kami untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.
“Acara ini merupakan peluang yang baik untuk membawa kegembiraan kepada kehidupan kanak-kanak ini, dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk bertindak dan membuat perubahan,” tambah beliau.
Acara itu juga mendapat sokongan daripada Makan Ceria Sdn Bhd, kakitangan dalaman Progresif Sdn Bhd, ahli Persatuan Usahawan Muda Brunei, MG Motor dan penderma persendirian.
Kerjasama pertubuhan berkenaan menunjukkan kuasa kerjasama dalam memberikan kesan positif dalam masyarakat.