Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN 28 OKT – Negara Brunei Darussalam menyokong sepenuhnya usaha mempromosikan peluang digitalisasi dalam sektor ekonomi dan perdagangan dalam era pembangunan saintifik dan teknologi masa kini.
Sokongan itu diumumkan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib pada mesyuarat tahunan Asia-Pacific Parliamentary Forum (APPF) kali ke-30 di Bangkok, Thailand.
Mesyuarat yang diadakan secara fizikal bermula 26 Oktober dan berakhir hari ini itu adalah julung kalinya bagi Negara Brunei Darussalam menghadirinya sebagai Negara Ahli Penuh melalui MMN.
Yang Di-Pertua MMN pada mesyuarat itu turut menyentuh mengenai pencegahan awal penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang menjadi antara fokus utama dalam memastikan penjagaan kesihatan berada pada tahap yang tinggi, selaras dengan Pelan Strategik Kesihatan Negara 2019-2023.
Menurut kenyataan dari Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat hari ini, APPF tahun ini dihadiri oleh 20 buah parlimen dari negara-negara rantau Asia Pasifik, sebuah negara pemerhati dan tiga organisasi undangan negara penganjur dengan membawa tema Parliaments and the Post-COVID-19 Sustainable Development.

Mesyuarat membincangkan isu-isu berkaitan pasca-pandemik COVID-19 dalam usaha untuk membangunkan semula pelbagai sektor ekonomi, politik, sosial dan kesihatan amnya.
Parlimen berperanan utama menyokong kerajaan bagi mempercepatkan proses pembangunan negara pasca-pandemik.
Sehubungan dengan itu, mesyuarat APPF berperanan penting sebagai sebuah platform perkongsian idea bagi membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai kaedah
terbaik dalam menyelaras dan menangani krisis global ini bagi kepentingan bersama.
Sementara itu, mesyuarat APPF 30 telah meluluskan 11 resolusi, manakala tiga resolusi akan dibawa ke mesyuarat seterusnya dan dua resolusi telah ditarik balik oleh negara pencadang.
Mesyuarat juga meluluskan Kenya-taan Bersama yang telah ditandatangani oleh ketua-ketua perwakilan ahli APPF. Mesyuarat APPF seterusnya akan dianjurkan oleh Republik Filipina pada tahun 2023.
Turut sama menghadiri mesyuarat tersebut bagi mewakili negara ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.