Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosikan kemakmuran ekonomi

    Gambar oleh Infofoto

    DUBAI, 29 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyeru ASEAN dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bekerjasama dalam mempromosikan kemakmuran ekonomi bagi rakyatnya dan seterusnya menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan UAE khususnya dalam menguruskan perubahan iklim.

    Baginda menekankan perkara tersebut ketika berkenan mengurniakan titah ucaptama semasa berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di DP World Arena, hari ini.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Semasa sidang kemuncak itu, Baginda turut mengiktiraf pencapaian UAE dalam mentransformasikan ekonominya serta menzahirkan ucapan tahniah diatas kejayaan UAE dalam menganjurkan Ekspo 2020 Dubai.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menggariskan cabaran-cabaran seperti isu-isu politik, ekonomi dan sosio yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini termasuk kesan pandemik COVID yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta mengganggu ketenteraman. Walau bagaimanapun, rakyat dan kerajaan telah menyesuaikan diri dengan cepat dan memberikan tindak balas terhadap cabaran-cabaran sedemikian.

    Menyentuh mengenai kepentingan untuk membentuk kerajaan masa hadapan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menggariskan bahawa Revolusi Industri Keempat akan membawa kepada perubahan dalam membentuk dan peranan kerajaan, ekonomi dan infrastruktur.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai Exhibition Centre, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di DP World Arena.

    Oleh itu, UAE sedang menerajui kerajaan-kerajaan masa hadapan seperti merintis beberapa bidang seperti tenaga yang boleh diperbaharui dan mengetengahkan peranan belia sebagai pemimpin masa hadapan yang akan mewarisi serta melaksanakan dasar-dasar permulaan yang dirangka pada masa ini. Di samping itu, Baginda juga menekankan penyertaan aktif wanita sebagai pemimpin dalam mempertingkatkan lagi kualiti penggubalan dasar untuk masa hadapan yang lebih baik secara keseluruhan.

    Mengenai keamanan dan kestabilan, Baginda menekankan bahawa ia adalah penting bagi meneruskan kemajuan ekonomi untuk menjamin masa hadapan generasi akan datang ke arah yang lebih cerah. Sambil mengungkap petikan sabda daripada Pengasas UAE, His Highness Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan, iaitu “Sejarah adalah rangkaian peristiwa yang berterusan. Masa kini hanyalah lanjutan dari masa lampau,” Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah menyatakan betapa pentingnya untuk menanamkan penghargaan kepada golongan muda kerana pengalaman dunia mereka jauh berbeza dengan pengalaman sebelum mereka, terutama sekali kepada yang pernah melihat peperangan dan konflik.

    Pada penghujung titah, Baginda mengulangi kepentingan untuk memastikan kehidupan yang lebih baik bagi rakyat, dunia yang aman damai dan keperluan bagi kerajaan pada masa akan datang untuk bersedia dan responsif. Di samping itu, Baginda juga menekankan keperluan untuk terus melibatkan golo-ngan belia kerana mereka inilah yang akan merealisasikan rancangan untuk generasi akan datang.

    Terdahulu sebelum berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Dunia 2022, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan bersama His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang berlangsung di Majlis, Dubai Exhibition Centre.

    Semasa majlis perjumpaan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan His Highness membincangkan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara, meningkatkan tahap perdagangan dan memudahkan kerjasama antara pelabur dari Negara Brunei Darussalam dan UAE dalam bidang perkhidmatan kewangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda