Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Proses LPA dipercepatkan lagi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sebagai tambahan kepada pengemaskinian permohonan baharu dan penyambungan Lesen Pekerja Asing (LPA) yang diumumkan pada 26 Mac lalu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memaklumkan bahawa beberapa perkara telah diselaraskan dan dikemaskinikan antara Jabatan Buruh dengan kerjasama beberapa agensi berkepentingan yang bertindak sebagai pengawal atur dalam sektor-sektor yang berkaitan dan dengan pihak JobCentre Brunei.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan, antara yang diselaraskan dan dikemaskinikan itu ialah mempercepatkan proses permohonan LPA yang dihadapkan ke Jabatan Buruh dan yang telah memperolehi clearance letter daripada JobCentre Brunei khususnya bagi sektor pembinaan, sektor borong dan runcit, sektor perkhidmatan makanan, sektor pertanian dan perikanan dan agrimakanan disebabkan kekurangan tenaga kerja.

    Selain itu, borang pengesahan alamat juga dikemaskinikan di mana majikan hanya perlu mengisi borang perakuan yang bertujuan untuk memastikan majikan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pekerja mereka melalui penyediaan tempat tinggal yang mempunyai keperluan asas seperti mematuhi keluasan bilik tempat tinggal, bekalan air, kebersihan dan sebagainya.

    Seterusnya adalah menangguhkan sementara keperluan bagi majikan untuk menghadapkan gambar keadaan rumah dan bilik pekerja dan juga keperluan mendapatkan pengesahan ketua kampung.

    “Bagi sektor pembinaan, penyelarasan prosedur telah dibuat antara Jabatan Buruh dan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan di mana majikan hendaklah menghadapkan salinan projek yang dijalankan seperti lazim tanpa perlu menyertakan salinan Borang C dari ABCi semasa menghadapkan permohonan baharu dan membaharui Lesen Pekerja Asing.

    “Borang perakuan (declaration) diperlukan bagi memastikan majikan bersetuju dan bertanggungjawab terhadap keberadaan dan kesejahteraan pekerja-pekerja asing di bawah kawalan mereka apabila projek pembinaan telah selesai dan sehingga satu tempoh masa projek baru dijalankan. Borang tersebut boleh dimuat turun di laman sesawang Jabatan Buruh, www.buruh.gov.bn.

    “Jabatan Buruh dan ABCi akan terus membuat pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat yang telah diluluskan permohonan Lesen Pekerja Asing mereka, bagi memastikan pihak syarikat akan sentiasa mematuhi undang- undang dan peraturan-peraturan kedua-dua jabatan berkenaan,” jelas beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...