Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Proses pulih COVID berbeza setiap individu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Proses pemulihan individu yang sudah disahkan negatif daripada jangkitan COVID akan berlainan antara satu sama lain, ada yang teruk dan ada juga yang langsung tidak merasakan sebarang gejala sama sekali.

    “Ada yang mempunyai batuk dan selesema yang berpanjangan, ada juga yang menghidap sakit yang kuat dan memerlukan rawatan di hospital,” kata Konsultan (Penyakit Berjangkit) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin semasa sesi temu bual media, kelmarin, yang turut dihadiri Konsultan (Kesihatan Awam) di Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong.

    Dr Hajah Riamiza Natalie berkata, kebanyakan orang secara umumnya akan pulih seperti sebagaimana batuk dan demam yang lain yang mana bukan pulih secara terus dan lazimnya akan mengambil masa beberapa minggu sambil tubuh badan seseorang itu menjalankan pemulihannya sendiri.

    “Ia boleh diumpamakan seperti luka, ada yang cepat membaik dan ada juga yang memerlukan sedikit masa untuk membaik, begitulah pula halnya dengan jangkitan COVID,” katanya lagi.

    Jika seseorang itu masih mempunyai gejala yang berpanjangan selepas ia menghidapi COVID lebih dari dua hingga tiga bulan atau mengalami gejala baharu lagi, barulah ia boleh dikatakan sebagai post-COVID kerana dalam masa sebulan dua yang pertama itu merupakan masa seseorang itu masih mengambil masa bagi proses pemulihannya setelah dijangkiti COVID.

    Dr Hajah Riamiza Natalie semasa temu bual sidang media, baru-baru ini.
    Dr Justin Wong semasa sesi temu bual tersebut.

    Menurutnya lagi, adalah biasa bagi seseorang yang telah dijangkiti COVID masih belum pulih kembali secara 100 peratus seperti masih mengalami batuk, cepat lelah, sakit sendi, sakit badan, mengalami masalah ingatan dan kurang konsentrasi serta berkurang tahap kecergasan.

    Bagaimanapun, katanya, hanya kurang 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti COVID boleh menghadapi masalah yang berpanjangan atau masalah baharu yang berkaitan dengan COVID yang mana berkemungkinan disebabkan cara pemulihan badan seseorang yang tidak seefektif seperti yang lain atau badan seseorang itu mempunyai tindak balas yang berlebihan terhadap jangkitan tersebut.

    Dr Hajah Riamiza Natalie juga menekankan adalah penting untuk mengamalkan pengurusan diri sebaik yang mungkin. Jika seseorang kekurangan tenaga, amat mustahak untuk mendapatkan rehat dan cuba mengekalkan tugasan seharian.

    “Kawal diri awda jika merasa letih semasa melakukan latihan atau tugas rutin. Ketahui had awda. Insyallah, badan awda akan kembali pulih seperti biasa. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, contohnya, jika seseorang mengalami batuk berterusan, mereka boleh berjumpa doktor dan doktor akan menilai keadaan mereka serta memberi ubat yang bersesuaian,” ujarnya.

    Sementara itu, mengulas mengenai protokol baharu yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media kelmarin, Dr Hajah Riamiza Natalie menyatakan bahawa protokol yang baharu diperkenalkan itu adalah sebagai cara untuk memudahkan lagi pengesahan seseorang itu sebagai kes COVID berbanding protokol kesihatan yang dikeluarkan sebelum ini yang memerlukan dua kali ujian saringan positif untuk mengesahkan seseorang itu menghidap COVID.

    Begitu juga dengan pengesahan bagi seseorang itu pulih daripada jangkitan yang hanya memerlukan satu keputusan negatif yang dilakukan bermula pada hari keenam dan bukannya bermula pada hari kelima, jelas Dr Hajah Riamiza Natalie.

    Ia bukanlah suatu kaedah yang baru digunakan, melainkan sudah dipraktikkan di negara lain dan diterima pakai.

    Dengan cara ini, ia turut mempermudah urusan orang ramai seperti dalam mendapatkan kit ujian saringan ART.

    Manakala itu, Dr Justin Wong menambah bahawa Protokol Kesihatan COVID-19 yang baharu saja diperkenalkan tersebut adalah lebih mudah dan ringkas di mana hanya satu ujian saringan ART sahaja yang diperlukan untuk mengesahkan seseorang itu positif COVID dan satu ujian saringan ART sahaja untuk didiscaj.

    Sebagai contoh, jelasnya, jika terdapat seseorang mempunyai gejala dan memutuskan untuk membuat ujian saringan ART di mana hasilnya menunjukkan keputusan positif dan segera melaporkannya dalam aplikasi BruHealth lalu dengan sendirinya akan diberikan kod berwarna ungu dan hari tersebut dikira sebagai hari pertama (D1) serta mengasingkan diri di rumahnya sehingga pulih dengan turut membuat pemeriksaan kendiri setiap hari di dalam aplikasi BruHealth.

    Pada hari keenam pesakit COVID-19 tersebut akan melakukan ujian saringan ART dan apabila didapati hasil keputusan negatif maka dengan sendirinya pada tengah malam tersebut kod BruHealth mereka akan bertukar menjadi hijau dan boleh didiscaj.

    Walau bagaimanapun jika hasil keputusan masih menunjukkan keputusan positif maka pesakit tersebut hendaklah membuat ujian saringan ART pada hari berikutnya sehinggalah keputusannya menunjukkan keputusan negatif atau sehingga ke hari ke-10 di mana meskipun keputusan ujian saringan ART pada hari ke-10 tersebut masih menunjukkan keputusan positif, mereka juga akan didiscaj dengan sendirinya.

    Beliau juga mengingatkan bahawa kod BruHealth seseorang itu akan ditukarkan pada tengah malam keputusan ujian saringan ART itu dilaporkan dan bukannya ditukarkan dengan serta merta semasa ujian saringan ART itu dihantar.

    Sementara itu, bagi seseorang yang disahkan sebagai kontak rapat juga hendaklah melakukan ujian saringan ART dan melaporkannya di aplikasi BruHealth mereka pada hari pertama dan sekali lagi pada hari kelima di mana jika keputusan pada hari kelima tersebut menunjukkan hasil negatif, maka kod BruHealth mereka akan ditukarkan daripada merah kepada hijau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda