SUBANG JAYA, 18 OGOS – Proton Holdings Bhd (Proton) memeterai perjanjian pengedaran am (GDA) dengan smart Automobile Co Ltd (smart) bagi penjualan kenderaan elektrik (EV) premium serta menyediakan perkhidmatan berkaitan di Malaysia dan Thailand.
Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata model pertama smart jualan Proton dalam fasa pertama perjanjian tersebut akan dilancarkan pada awal suku keempat tahun depan.
Menurutnya, Proton dan smart juga dapat mengembangkan jumlah pelanggan masing-masing selain berupaya meraih saluran perolehan hasil baharu daripada kalangan pembeli muda di Malaysia dan Thailand.
“Kami akan turut meraih pengetahuan penting mengenai cara pemasaran, penjualan serta servis membabitkan kenderaan tenaga baharu yang merupakan pasaran niaga baharu untuk kami selain memberi akses ke pasaran eksport baharu seperti Thailand yang mempunyai dasar EV dan pendedahan pengguna lebih maju,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian GDA itu
Syed Faisal Albar berkata impak daripada pengalaman penjualan dan servis kenderaan terbabit selain menguruskan operasi perniagaan EV dapat dilihat apabila Proton berpeluang memajukan tawaran EV di peringkat syarikat itu.

Menurutnya, Proton juga merancang untuk melabur dalam rangkaian kemudahan pengecasan dan mewujudkan sistem terbabit bagi kegunaan pihak awam dan swasta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 10,000 unit EV smart dapat dijual sehingga 2027 dengan dianggarkan 800-1,000 unit setahun di pasaran Malaysia.
Model EV smart pertama itu akan dijual di Thailand pada separuh kedua 2024, kata beliau.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong menyifatkan pemeteraian GDA itu sebagai satu langkah besar untuk Proton menembusi pasaran kenderaan tenaga baharu.
“Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi turut menimba pengetahuan dan pengalaman berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV, tetapi turut mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan,” kata beliau.
Menurutnya, peralihan ke dalam segmen pasaran itu akan memacu Proton ke arah lebih mesra alam, di samping berusaha membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050. – Bernama