Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSR: 80% berjaya peroleh Gred A-D

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Seramai 4,859 atau 80.65 peratus calon yang menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun ini berjaya memperoleh Gred A-D dalam kelima-lima mata pelajaran manakala calon yang memperoleh Gred A-C pula seramai 3,679 (61.06%).

    Keputusan itu dikongsikan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan hari ini. Bagi pelajar peperiksaan itu bolehlah mendapatkan slip keputusan di sekolah masing-masing dan calon persendirian pula di Jabatan Peperiksaan pada waktu pejabat.

    Berdasarkan statistik, daripada 6,025 calon yang menduduki peperiksaan tahun ini, sebanyak 4,145 iaitu 68.80 peratus adalah calon sekolah kerajaan dan 1,880 (31.20%) adalah calon sekolah swasta.

    Jumlah calon sekolah kerajaan yang memperolehi Gred A-C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 2,270 (54.76%) sementara itu pencapaian Gred A-C bagi calon sekolah swasta ialah seramai 1,409 (74.95%).

    Sebanyak 20 buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus Gred A-D bagi semua pelajaran termasuk 12 buah sekolah kerajaan.

    Manakala lima buah sekolah berjaya mencapai keputusan 100 peratus Gred A-C yang mana empat daripadanya adalah sekolah kerajaan.

    Sementara itu, seramai 485 calon (8.05%) mendapat Gred A dalam semua pelajaran dan daripada jumlah tersebut, seramai 263 calon adalah daripada calon-calon sekolah kerajaan.

    Secara keseluruhan seramai 418 calon (86.19%) yang mendapat lima Gred A adalah rakyat Brunei, manakala, pencapaian calon yang mendapat 4 Gred A dan I Gred B adalah seramai 603 calon yang mana seramai 344 calon (57.05%) adalah dari sekolah kerajaan.

    Sementara bagi mata pelajaran yang mencapai 90 peratus ke atas dalam Gred A-D adalah Melayu Islam Beraja 99.27 peratus, Bahasa Inggeris (96.96%) peratus, Bahasa Melayu (96.31%), Sains (94.79%) dan Matematik (81.94%).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda