Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    PTES: Peratus keputusan cemerlang capai 89.7%

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) telah meraikan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Akademik bagi tahun 2021 di teater serba guna pusat berkenaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohd Norilham bin Haji Jais. Pengetua PTES, Haji Metusin bin Haji Jais semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya antara lain mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang diraikan atas keputusan yang diperoleh bagi tahun 2021.

    Antara tujuan lain majlis sedemikian diadakan adalah untuk menghargai dan mensyukuri kejayaan para pelajar kerana meraih keputusan cemerlang di dalam peperiksaan peringkat A atau As tahun 2021 yang lalu di samping menjadi satu manifestasi pihak kepimpinan bagi meraikan satu lagi tonggak sejarah atau pencapaian akademik sepanjang pusat tersebut ditubuhkan.

    Haji Metusin turut mengongsikan peratus siswa yang memperoleh tiga atau lebih mata pelajaran lulus peringkat A dan As yang mencapai 89.7 peratus pada tahun 2021 meningkat sebanyak 10 peratus berbanding pencapaian 2020 lalu. Manakala peratus siswa yang memperoleh dua atau lebih mata pelajaran lulus peringkat A dan As ialah 99 peratus pada tahun 2021 meningkat sebanyak tiga peratus juga berbanding pencapaian 2020 lalu.

    “Dari segi mutu atau kualiti pencapaian tahun 2021 melalui perolehan Gred A, Gred B dan Gred C berbanding perolehan tahun 2020 pula, pertambahan jumlah pelajar yang memperolehi Gred A dan Gred B sangat ketara. 

    “Ini membuktikan bahawa ramai penuntut kelas tahun 2021 meraih gred bermutu dalam mata pelajaran yang diambil dan ini membolehkan penuntut memiliki pilihan program yang luas di peringkat selanjutnya.

    Pada majlis tersebut, beberapa anugerah telah disampaikan antaranya Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan BC-GCE A Level 2021, Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Mata Pelajaran BC-GCE A Level 2021, Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan 2020/2021, Anugerah Pelajar Contoh 2020/2021 dan Anugerah Pelajar Beriltizam 2020/2021.

    Di samping itu, majlis turut diselajurkan dengan penyampaian anugerah kepada para pensyarah dan jabatan cemerlang dan memperoleh peningkatan terbaik, anugerah bagi jabatan progresif dan penghargaan special mention.

    Tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut kepada salah seorang pelajar cemerlang.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...