Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Puisi di papan iklan punca kemalangan meningkat

    TEHRAN, 31 OKT – Ratusan papan iklan yang memaparkan puisi-puisi berunsur emosi yang telah didirikan di sekitar ibu negara Iran menyumbang kepada peningkatan dalam kemalangan jalan raya, kata pihak polis hari ini.

    Pihak berkuasa bandar Tehran telah memasang kira-kira 600 papan tanda yang memaparkan petikan karya penyajak kontemporari Iran di atas jejantas pejalan kaki dan jejambat di seluruh bandar.

    Kaligrafi kemas itu menampilkan karya 104 penyajak dan merangkumi pelbagai topik termasuk percintaan, agama dan masyarakat.

    Penulis terkenal termasuk Nima Yooshij, Mehdi Akhavan-Sales dan Hushang Ebtehaj adalah antara mereka yang sajak mereka dipamerkan.

    Bagaimanapun, laporan oleh agensi Kelab Wartawan Muda yang berkaitan dengan televisyen negara yang dikeluarkan kelmarin mengatakan bahawa pihak polis di ibu negara bimbang mengenai aspek keselamatan jalan raya dalam kempen itu.

    Papan iklan yang dipasang di jejantas pejalan kaki di Tehran oleh majlis perbandaran ibu kota Iran, memaparkan petikan karya penyair Iran, Mohammad Ali Bahmani pada 30 Oktober. – AFP

    Laporan YCJ berkata puisi itu telah menjadi punca gangguan kepada pemandu di bandar yang sesak lalu lintas disebabkan teks panjang dan sering kali sukar dibaca yang menyebabkan kemalangan.

    Rakyat Iran terkenal dengan minat mereka terhadap puisi, yang merupakan komponen penting dalam sastera dan budaya Parsi.

    “Papan tanda di sekitar bandar seharusnya pendek dan padat, dan berupaya menyampaikan mesej dengan hanya sekilas pandang oleh pemandu,” kata Timbalan Ketua Polis Trafik Tehran, seperti yang dikutip oleh agensi YCJ.

    “Teks panjang jenis ini tidak mematuhi standard dan menyebabkan kemalangan.”

    Walaupun memuji inisiatif puisi itu sebagai berharga, seorang pegawai perbandaran Tehran mengakui adalah lebih baik jika puisi-puisi itu dipendekkan, seperti yang disarankan oleh polis. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...