Monday, March 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Pinang buat pembenihan awan pada Sabtu

    GEORGE TOWN, 25 APRIL – Operasi pembenihan awan bagi menggalak hujan lebat di Pulau Pinang akan dijalankan bermula 29 April ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmanathan.

    Beliau berkata Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei ini bagi gelombang pertama operasi di dua empangan di negeri ini.

    “Matlamat utama ialah untuk menggalak hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Hujan lebat diperlukan untuk mengisi semula kedua-dua empangan dengan air mentah sebanyak mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Pathmanathan kapasiti Empangan Air Itam sebanyak 82.5 peratus pada Januari lepas kini mencatat 44.8 peratus manakala Empangan Teluk Bahang sebanyak 64 peratus pada tempoh sama, kini adalah 48.6 peratus.

    Beliau berkata, kapasiti kedua-dua empangan itu menyusut 37.7 peratus dan 15.4 peratus sejak 1 Jan lepas berikutan jumlah hujan yang rendah (berkaitan dengan perubahan iklim) di kawasan tadahan air dan permintaan air yang tinggi pada tahun ini.

    “Paras simpanan Empangan Air Itam telah berkurangan dengan peratusan yang lebih tinggi sejak 1 Jan lepas kerana kapasiti efektif maksimumnya ialah 2,160 juta liter berbanding kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang sebanyak 19,240 ML,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda