Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Azlan Othman dan Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Usaha terus dilaksanakan untuk menerapkan budaya dan menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan orang ramai sebagai gaya hidup seharian mereka serta memupuk kesedaran ke arah warga yang bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran Negara Brunei Darussalam sentiasa bersih, hijau dan selamat.
Ke arah itu, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan telah mengadakan inisiatif Hari Kitar Semula Senegara di keempat-empat daerah iaitu di Stesen Pindah Sungai Akar, Taman Rekreasi Pantai Serasa, Taman Rekreasi Mini Perayaan Kampung Parit, Pejabat JASTRe Cawangan Tutong, Pejabat JASTRe Cawangan Belait, Taman Rekreasi Jubli Anduki dan JASTRe Cawangan Temburong kelmarin.
Inisiatif senegara itu dijalankan dengan kerjasama dan sokongan empat buah syarikat kitar semula tempatan iaitu Enevo Sdn Bhd, Imaa Maya Enterprise, Shaliz Waste Recycling dan Kawan Bumi Sdn Bhd.
Menurut JASTRe, inisiatif di keempat-empat daerah berkenaan berjaya mengumpul sebanyak 1,919.2 kilogram kertas, 134.3 kilogram kadbod, 417.8 kilogram botol plastik, 224.7 liter minyak masak terpakai dan 428 unit barang buangan peralatan elektrik.
Kesemua barangan berkenaan telah dibawa ke syarikat-syarikat kitar semula untuk diproses sama ada dalam negara atau dihantar ke luar negara bagi proses kitar semula.
Salah seorang yang menyertai inisiatif kitar semula ialah Andy Chong di Kuala Belait, menyatakan inisiatif yang dikendalikan oleh JASTRe berkenaan merupakan satu inisiatif yang amat baik kerana ia memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk sama-sama memainkan peranan dalam pemuliharaan alam sekitar negara serta mengamalkan budaya kitar semula.
Semasa inisiatif itu, beliau telah mengumpulkan kertas dan botol plastik yang terdapat di rumahnya untuk dikitar semula. Beliau berharap lebih banyak inisiatif atau kempen seumpama itu dapat dikendalikan pada masa akan datang serta mencadangkan supaya ia boleh dijadikan sebagai satu aktiviti kalendar tahunan yang dikendalikan sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Menerusi usaha itu, tambahnya, ia akan menggalakkan penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan muda untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup mampan menerusi amalan kitar semula dan memastikan negara sentiasa bersih, hijau dan selamat.