Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kesejahteraan digital komuniti sekolah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Dengan tema ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’, Konvensyen Pemimpin Sekolah keempat 2022 diadakan secara hibrid dan berlangsung selama tiga hari pada 22, 24 dan 26 Mac.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis pembukaan konvensyen pada hari ini ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua kluster Kementerian Pendidikan.

    Lebih 635 orang peserta dan para jemputan yang terdiri daripada para pemimpin sekolah daripada sekolah rendah dan menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah daripada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menghadiri konvensyen berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, konvensyen anjuran bersama Jabatan Pengurusan Pendidik dan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan itu bertujuan untuk meningkatkan kepimpinan instruksional dan profesional para pemimpin sekolah.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah hadir pada majlis pembukaan tersebut.
    Dr Sheikh Lukman semasa memberikan ucapan alu-aluan selaku pengerusi bersama konvensyen berkenaan.
    Dr Chin Wei Keh semasa mengikuti sesi dialog antara ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin sekolah.
    Antara peserta dan para jemputan yang terdiri daripada para pemimpin sekolah dari sekolah rendah dan menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pengajian Islam, KHEU menghadiri konvensyen berkenaan.

    Sub tema untuk konvensyen kali ini ialah Digital Citizenship yang bertujuan untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang kewarganegaraan digital serta menyokong ke arah kesejahteraan digital di kalangan komuniti sekolah.

    Majlis konvensyen dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid selaku pengerusi bersama konvensyen yang kemudian diikuti dengan ucapan tetamu kehormat dan perasmian konvensyen serta pelancaran Buku Garis Panduan Sokongan Pembelajaran.

    Seterusnya, majlis diikuti dengan ucaptama bertajuk Global Standards For Digital Skills yang disampaikan oleh penceramah undangan, Dr Yuhyun Park, yang merupakan pakar terkemuka dunia dalam kemahiran digital dan keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan kemudahan dalam talian. Beliau adalah merupakan pengasas Institut DQ dan pencipta konsep dan rangka kerja Kecerdasan Digital (DQ).

    Majlis juga diikuti dengan sesi dialog antara ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin sekolah yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

    Hari kedua konvensyen akan diteruskan pada 24 Mac secara dalam talian melalui Microsoft Teams dengan sesi soal jawab secara langsung bersama penceramah undangan. Sesi pagi diteruskan dengan satu pembentangan dan bengkel mengenai Kewarganegaraan Digital bagi sekolah-sekolah yang akan diketuai oleh pengarah perkembangan kurikulum, Kementerian Pendidikan.

    Manakala pada sesi petang akan menyaksikan tiga pembentangan iaitu rumusan bengkel Digital Citizenship.

    Majlis penyampaian pelantikan pemimpin-pemimpin sekolah baharu dan penyampaian insentif sekolah kepada sekolah-sekolah kerajaan yang telah mencapai prestasi keseluruhan dalam peperiksaan akan diadakan pada hari ketiga konvensyen.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda