Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk semangat cintakan alam sekitar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Seramai 40 orang termasuk pelajar sekolah mengambil bahagian menyokong acara Pembersihan Pantai Funday di Pantai Tanjung Batu, Muara anjuran Pusat Kreatif BD sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, hari ini.

    Kempen berkenaan dihasratkan untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar sekali gus sebagai salah satu cara menjaga alam sekitar.

    Pencipta Program Pusat Kreatif BD, Dayangku Amal Nabilah binti Pengiran Haji Mohd Yassin ketika ditemui semasa kempen berkenaan, menjelaskan bahawa kempen diadakan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 yang disambut pada 5 Jun lalu.

    Untuk kempen yang julung kalinya diadakan oleh pusat itu, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang sama-sama tampil memberi sokongan terhadap kempen berkenaan.

    “Peserta kempen dibahagikan kepada tiga kumpulan berbeza untuk mengumpul sampah plastik, sampah kertas dan sampah kaca, dengan aktiviti mengutip sampah akan memberi impak yang besar pada masa hadapan,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menambah, dengan kempen yang dilaksanakan itu akan dapat menunjukkan kepada masyarakat, terutamanya belia bahawa membersihkan pantai dan menggunakan semula bahan buangan boleh menjadi menyeronokkan dan bukan sesuatu yang menakutkan atau sukar kerana bahan buangan boleh digunakan semula dan digubah menjadi apa sahaja.

    “Matlamat utama acara itu adalah untuk menyebarkan berita kepada masyarakat dan belia bahawa untuk semua orang hidup dalam dunia yang lebih baik dan bersih, ia bermula dengan semua orang,” jelasnya.

    Terdahulu itu, peserta mendengarkan taklimat ringkas mengenai kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) dan sesi senamrobik.

    Acara sehari itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain seperti melukis, bengkel membuat terarium, pondok inai, menukar sisa kain sebagai aksesori, serta aktiviti pantai dan permainan mini seperti ragbi sentuh dan bermain layang-layang.

    Antara peserta yang terlibat dalam kempen di Pantai Tanjung Batu, Muara, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda