Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Brunei Darussalam telah menunjukkan penurunan dengan 503 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya iaitu 643 kes sehari.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Norma Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussalam hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata sebanyak 46,245 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 7.5 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Tambahnya, hari ini, dua kes berada dalam kategori 5 yakni yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala satu kes berada dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
“Sehingga 4 Disember, kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.9 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.3 peratus juga telah mendapatkan dos keempat,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa sebanyak 458 kes baharu telah dilaporkan hari ini iaitu 451 kes hasil ujian ART dan tujuh kes adalah hasil dari 176 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Sementara itu, trend kes influenza dan jangkitan serupa influenza (ILI) pada minggu lalu terus menunjukkan penurunan dan telah hampir kembali pada kadar normal.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai untuk terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan.
Pada sidang media tersebut, beliau turut memaklumkan kepada orang ramai mengenai penambahbaikan kepada ciri BN on the Move dalam aplikasi BruHealth.
“Mulai 8 Disember, pengiraan langkah akan dikemas kini secara automatik apabila aplikasi BruHealth dibuka tanpa perlu memasuki halaman BN on the Move,” kata beliau.