Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam dalam masa satu minggu kebelakangan ini terus menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 332 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya iaitu 434 kes sehari.
Sebanyak 35,835 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 6.4 peratus daripadanya merupakan keputusan ujian ART yang positif.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pemangku Menteri Kesihatan dalam Sidang Media Norma Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussalam, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Pada hari ini, satu kes di dalam kategori 5 yakni yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala dua kes berada di dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” kata Yang Berhormat Pehin.
Menurut beliau lagi, sehingga kelmarin, kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.9 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.4 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.
“Pada hari ini, sebanyak 287 kes baharu telah dilaporkan iaitu 286 kes hasil ujian ART dan satu kes merupakan hasil dari 48 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” tambah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai, trend kes influenza dan jangkitan serupa influenza (ILI) di mana pada minggu lalu trend tersebut telah kembali kepada paras normal.
“Walau bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah berwaspada. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan influenza pada setiap tahun,” kata Yang Berhormat Pehin.


