KUALA LUMPUR, 11 MAC – Setelah sekian lama menanti, Persatuan Sepak takraw Malaysia (PSM) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dapat membuka sebuah akademi sendiri di Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia itu diharapkan dapat beroperasi sepenuhnya Jun ini, berikutan beberapa pengubahsuaian di kemudahan itu perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Stadium berkenaan masih memerlukan banyak kerja naik taraf termasuk pemasangan penyaman udara. Mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum boleh buka akademi di situ.”
“Kami pernah gunakan stadium berkenaan untuk program kecil. Kita akan cuba tambah baik lagi supaya ia benar-benar menjadi sebuah akademi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Sumali berkata beliau menerima berita gembira berkenaan hasil pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin, dan wakil PSM semalam.
Sebelum ini, Mohd Sumali berkata pihaknya merancang untuk memiliki stadium sendiri dengan mengenal pasti beberapa lokasi di Lembah Klang.
Bagaimanapun, beliau pada Oktober lepas dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan akademi sukan berkenaan berbanding memiliki stadium sendiri.
Mohd Sumali berkata mereka diberikan kontrak sewa sembilan tahun hingga 2034 untuk mengambil alih pengoperasian stadium berkenaan yang dimiliki Institut Sukan Negara (ISN). – Bernama
