Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Peluang buat semua negara kutip mata – PSM

    KUALA LUMPUR, 9 MEI – Sistem pengiraan baharu 15 mata dengan tiga servis bergilir yang akan diperkenalkan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa pada 18 hingga 26 Mei ini, dilihat membuka lebih ruang buat pasukan bertanding merebut mata.

    Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata ketajaman tekong boleh menjadi faktor utama kemenangan apabila sesuatu pasukan dapat mengutip mata berturut-turut hasil perlaksanaan servis tajam yang sempurna oleh tekong terbabit.

    “…tapi kali ini apabila bertukar servis momentum dia (tekong) itu mungkin bermasalah, mana kita tahu? Itu (yang) saya kira ada ruang sedikit kepada semua termasuk pemain-pemain kita,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Malaysia malam tadi.

    Mohd Sumali berkata pasukan gabungan pemain berpengalaman dan baharu itu seharusnya menerapkan semangat juang tinggi untuk memastikan sasaran final dalam ketiga-tiga acara yang disertai mampu dicapai.

    Beliau turut menegaskan pihaknya akan mengambil langkah berjaga-jaga tidak kira di lapangan pertandingan ataupun tempat tinggal pemain bagi memastikan keselamatan mereka.

    “Untuk pemain (Malaysia pula) kebiasaannya memang ada satu peraturan ataupun disiplin…keluar ke mana-mana tanpa kebenaran automatik pemain ini kita akan ambil tindakan tegas dan saya percaya memang semua pemain pun faham,” katanya.

    Sebanyak 21 negara akan berentap dalam kejohanan dunia itu dengan 12 negara bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia dan sembilan negara lagi berentap dalam Divisyen satu yang dibarisi antaranya Iran, Jerman, Arab Saudi dan Pakistan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...