Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat beli-belah Sabah dihiasi dengan kehebatan hiasan kreatif

    KOTA KINABALU, 22 DIS – Keajaiban muncul sekali lagi tahun ini apabila pusat beli-belah di Sabah bertukar menjadi dunia ajaib yang menakjubkan masing-masing bersaing menunjukkan kehebatan dengan hiasan kreatif sempena perayaan Hari Krismas.

    Tiga pusat beli-belah ikonik iaitu IMAGO Shopping Mall, Suria Sabah dan 1Borneo Hypermall menjadi tumpuan utama dengan hiasan perayaan yang megah dan memukau pengunjung, dan hiasan penuh kilauan ini menyentuh hati rakyat Sabah yang mendambakan kegembiraan dan kebersamaan, malah turut tular di media sosial.

    Di IMAGO Shopping Mall, seorang guru Amber Nee Jirin, 29, dan keluarganya berkata kawasan di tengah pusat beli-belah itu bertukar menjadi kaleidoskop warna dan cahaya, pokok Krismas yang menjulang tinggi dihiasi dengan perhiasan berkilauan dan lampu bergemerlapan, menjadi tarikan utama.

    Di sekitarnya, sebuah perkampungan musim sejuk yang mewah terbentang, lengkap dengan struktur air pancut, chalet, salji tiruan dan ikon Krismas yang ceria. Aroma kayu manis menyelubungi udara, hasil daripada pasar berdekatan yang menjual roti dan biskut Krismas.

    IMAGO Shopping Mall dalam satu kenyataan kepada Bernama memaklumkan suasana perayaan di pusat beli-belah itu adalah elemen utama acara Krismas mereka iaitu A Joyful Celebration bersama-sama Jualan Akhir Tahun Malaysia 2024, dengan kerjasama Tourism Malaysia.

    “Sambutan Krismas tahun ini mengubah kawasan tengah menjadi Bandar Krismas yang indah, menggabungkan keceriaan musim perayaan dengan sumbangan ekonomi bermakna serta mewujudkan suasana mesra untuk semua,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Suria Sabah berubah menjadi satu pemandangan menarik untuk sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina, menggabungkan keunikan dua musim perayaan dalam satu hiasan dengan memberikan pengalaman visual yang menakjubkan.

    Pengunjung pusat beli-belah itu disambut dengan pemandangan luar biasa, Santa Claus dan Dewa Kekayaan berdiri berdampingan di pintu masuk dengan cahaya berkelipan, perhiasan bersaiz besar dan tanglung berwarna merah yang unik turun dari siling, menggambarkan keharmonian kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia. – Bernama

    Para pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar bersama dekorasi Krismas yang memukau di sebuah pusat beli-belah di ibu kota sempena sambutan Hari Natal pada 25 Disember ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda