Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pusat pakar kesuburan tawar khidmat rentas sempadan

    Oleh Nurolqalby Mohd Reda –

    KUALA LUMPUR – Hampir sembilan tahun menunggu untuk bergelar ibu dan ayah, impian Intan Noorshah, 42, dan suaminya Mohd Faisal Imran Ismail, 38, akhirnya tercapai dengan kehadiran sepasang anak kembar, dua tahun lepas.

    “Saya disahkan hamil pada Jun 2020 dan tidak menyangka dapat hamil dengan hanya sebelah tiub fallopio (belah kanan) kerana tiub kiri terpaksa dibuang akibat bermasalah.

    “Sebelum itu, saya pernah hamil pada penghujung 2019 tapi kandungan terpaksa digugurkan akibat tiada degupan jantung,” Intan Noorshah berkongsi kisahnya dengan Bernama dan pengalaman mendapatkan rawatan di Pusat Pakar Kesuburan Sunfert (Sunfert) yang disifatkan sebagai pilihan terakhir untuk mendapatkan zuriat.

    “Kami waktu itu kebetulan ke Sunfert untuk mendapatkan nasihat dan kemudian tertarik untuk mencuba rawatan di sini kerana Sunfert juga adalah pusat kesuburan ternama ‘top fertility centre’, jadi tidak salah rasanya untuk mencuba,” tambahnya.

    Menurut Intan, selepas rawatan pertama di pusat itu, beliau teruja apabila disahkan hamil sepasang anak kembar hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang dijalaninya.

    Intan Noorshah dan suaminya (tengah) bersyukur dengan kehadiran sepasang anak kembar, hasil rawatan IVF di Sunfert yang dikendalikan oleh Dr Eeson Sinthamoney. – Bernama
    Gambar Bernama

    Menyingkap perjalanan IVFnya, beliau berkata, perjalanan itu bukanlah mudah apabila beliau dan suami, kedua-duanya bekerja dalam bidang teknologi maklumat, berhabis puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan cahaya mata.

    “Sebelum memulakan rawatan IVF dengan Sunfert, saya juga pernah menjalani rawatan IUI (permanian berhadas) iaitu kaedah rawatan kesuburan yang digunakan untuk menghantar sperma secara terus ke serviks atau rahim untuk hamil, di sebuah hospital namun ianya tidak berhasil.

    “Sepanjang mendapatkan rawatan Sunfert secara peribadinya ia sangat menyenangkan, sangat mudah berurusan di sini kerana doktor pakarnya sangat memahami kes saya.

    “Bukan sahaja layanan doktor pakar dan staf membuatkan kita rasa selesa tetapi juga persekitaran di sini yang memberikan rasa tenang dan membina mood baik kepada pesakit,” katanya menambah, kehadiran pasangan kembar Idris Zakariya dan Iris Zafira, 2, melengkapkan kehidupan mereka suami isteri.

    Pakar rawatan kesuburan

    Penulis yang baru-baru ini berkesempatan melawat ke Sunfert bersama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) berasa turut teruja dengan pelbagai kemudahan yang disediakan pusat kesuburan berkenaan.

    Seperti yang dikongsi Intan, pusat kesuburan yang terletak di Bangsar, di sini, sememangnya selesa kerana menawarkan ruang dalaman yang besar serta dihiasi landskap menarik dalam mewujudkan suasana tenang dan nyaman untuk pelanggan.

    Lokasinya yang strategik berhampiran pusat membeli-belah seperti Mid Valley, KL Gateway Mall dan hotel seperti Pullman Kuala Lumpur, turut menjadikannya pilihan pelancong kesihatan luar negara untuk mendapatkan rawatan kesuburan di situ.

    Pelancong kesihatan luar negara yang mendapatkan perkhidmatan perubatan di pusat kesuburan itu mempunyai akses pelbagai kemudahan bukan sahaja daripada segi penginapan di hotel sekitarnya, malahan ia juga terletak di tengah-tengah jaringan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorail dan KTM.

    Sunfert yang sudah beroperasi selama 14 tahun memiliki pasukan terbaik termasuk pakar kesuburan, embriologi, genetik dan jururawat terlatih yang memberi tumpuan untuk membantu pasangan merealisasikan impian mereka membina keluarga.

    Pusat pakar kesuburan itu kini berada di barisan hadapan dalam menyediakan Teknologi Pembiakan Berbantu (Assisted Reproductive Technology) bertaraf dunia termasuk rawatan IVF, ujian genetik praimplantasi (PGT), pembekuan embrio dan kaedah Pemanian Berhadas (IntraUterine Insemination-IUI).

    Ia sentiasa menjadi tumpuan dan pilihan utama sebagai penyedia perkhidmatan kesuburan sehenti yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan malahan antarabangsa.

    Pusat kesuburan itu turut mempunyai pensijilan Jawatankuasa Akreditasi Teknologi Reproduktif Persatuan Kesuburan (RTAC) dari Australia dan New Zealand, sekali gus memberi jaminan kepada pesakit untuk mendapat perkhidmatan berkualiti yang ditawarkan.

    Selain itu, pada tahun 2022 dan 2023, Sunfert dinobatkan sebagai “Fertility Centre of the year in Asia Pacific & Excellence in Patient Service Provider of the year in Asia Pacific” oleh Global Health Awards. Sunfert bukan sahaja komited membantu setiap pasangan yang mempunyai masalah kesuburan mendapatkan cahaya mata malah membolehkan pelanggan mendapatkan anak damit yang sihat dengan penggunaan teknologi terkini.

    Menurut Pengarah Perubatan Sunfert, Dr Eeson Sinthamoney, pakar pusat rawatan itu akan mengenal pasti punca atau masalah sebenar pelanggan sebelum mereka diberikan rawatan bergantung kepada keperluan masing-masing.

    “Sunfert adalah pusat sehenti dan menawarkan pelbagai rawatan kesuburan serta membantu pasangan mendapatkan cahaya mata. Apa yang membezakan, kami menjalankan prosedur bermula dengan diagnosis masalah pelanggan atau pesakit sehingga mereka berjaya hamil.

    “Ia tidak seperti pusat lain yang kebanyakannya hanya terhad kepada rawatan IVF semata-mata dan juga lebih bertumpu kepada Obstetrik dan Ginekologi (perbidanan dan sakit puan), sebab itu kebanyakan pusat perubatan lain tiada kepakaran atau teknologi seperti kami,” katanya.

    Tiada zuriat tidak semestinya mandul

    Pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti akan berada dalam kebimbangan apabila masih belum dikurniakan zuriat setelah sekian lama berkahwin dan mungkin juga ada yang mempunyai persepsi mereka tidak boleh memiliki zuriat kerana berdepan dengan masalah kemandulan.

    “Kata-kata orang sekeliling termasuk keluarga terdekat berkaitan zuriat terhadap pasangan yang sudah berkahwin setahun dan ke atas, sudah semestinya akan memberikan tekanan kepada suami mahupun isteri dan ia seolah-olah membuktikan mereka ini mandul.

    “Namun tidak semua kes sukar mendapat cahaya mata adalah disebabkan kemandulan. Kemungkinan ia juga berpunca dari masalah kesihatan, amalan gaya hidup tidak sihat dan tidak cukup atau sukar melakukan hubungan intim turut mendorong pasangan sukar memperoleh anak,” katanya.

    Beliau berkata, sehubungan itu pakar di Sunfert akan mengenal pasti situasi pelanggan atau pesakit sebelum menetapkan sebarang rawatan kesuburan.

    Selain memberikan nasihat dan rundingan, pakar juga akan sehabis baik mendorong pesakit untuk hamil secara semula jadi tanpa melalui rawatan kesuburan termasuk IVF sebagai usaha mendapatkan cahaya mata.

    “Ada sesetengah kes kesukaran hamil disebabkan mereka ini tergolong dalam kumpulan obesiti, jadi untuk kes ini, kita akan beri panduan untuk mereka, contohnya minta kurangkan berat badan selain kita bantu mereka bagaimana mereka boleh melakukan hubungan intim pada waktu subur supaya peluang untuk hamil secara semula jadi itu lebih cerah.

    “Usia perkahwinan yang semakin lewat pada usia 30an kerana membina kerjaya juga boleh menjadi penyebab kesuburan semakin merosot bagi wanita. Menurut kajian, kesuburan wanita paling baik adalah ketika usia 20an.

    “Semakin berusia, semakin kurang kesuburan itu sehingga menyukarkan untuk hamil,” katanya menambah, rawatan di pusat itu turut menawarkan rawatan suntikan hormon dan ubat kesuburan sebagai ikhtiar dalam menjayakan proses kehamilan.

    Kepakaran dan harga

    Tidak menolak kemungkinan faktor kepakaran dan harga berpatutan yang ditawarkan Sunfert menjadi pilihan pelanggan negara ini, Dr Eeson berkata ia juga turut menarik pelancong kesihatan dari negara luar terutamanya Indonesia, Singapura, China, Jepun, Australia, USA dan banyak lagi.

    “Hasil maklum balas pelanggan atau pesakit kami, mereka menyifatkan penyediaan rawatan di sini setaraf malah ada juga mengatakan ia melebihi kepakaran doktor di negara mereka meskipun harga yang ditawarkan Sunfert jauh lebih rendah.

    “Kami di sini sangat menghargai mereka yang sanggup terbang berbelas-belas jam atau beribu kilometer hanya untuk mendapatkan khidmat di Sunfert dan kerana itu juga kami tidak mahu mereka berasa tertekan sepanjang proses perubatan di sini,” katanya.

    Beliau menambah, Sunfert mengambil pendekatan mengeratkan hubungan dengan rakan strategik mereka di luar negara bagi memudahkan pesakit menjalani rawatan tanpa perlu kerap berulang-alik dari negara asal ke Malaysia serta menawarkan perkhidmatan yang lebih fleksibel tanpa membebankan pelanggan daripada segi kewangan, masa dan tenaga.

    “Contohnya pesakit dari Singapura. Mereka datang ke Sunfert untuk mengambil ubat atau melakukan suntikan hormon, keesokan paginya mereka boleh pulang semula ke negara mereka.

    “Kemudian pakar kita di sini pula akan berhubung dengan doktor di Singapura yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini untuk meminta mereka membuat pemantauan ke atas pesakit termasuk memastikan pesakit memakan ubat secara teratur selain memantau tahap kesihatan pesakit dari semasa ke semasa.

    “Melalui pendekatan ini pesakit dari luar negara tidak perlu menginap di negara ini dalam tempoh lama sepanjang melalui proses perubatan di Sunfert kerana mereka akan dipantau oleh doktor dari negara asal sementara menunggu temu janji seterusnya,” katanya.

    Menyifatkan penggunaan teknologi terkini membantu dalam merealisasikan impian setiap pasangan untuk memiliki anak yang sihat, Dr Eeson berkata, dengan adanya kemudahan makmal sendiri, pihak Sunfert dapat mengenal pasti risiko yang boleh berlaku ke atas setiap kehamilan di peringkat awal termasuk mendapat anak damit ‘Sindrom down’.

    “Contohnya dalam rawatan IVF, bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku ke atas anak damit yang dilahirkan, kita akan melakukan pelbagai ujian ke atas suami dan isteri. Jadi sebarang masalah boleh dikenal pasti lebih awal sebelum proses persenyawaan berlaku.

    “Menerusi makmal ini juga kita boleh mengenal pasti telur (wanita) yang berkualiti untuk memastikan anak itu sihat dan memilih embrio yang terbaik untuk dimasukkan ke dalam rahim wanita,” katanya menambah, setakat ini lebih 5,000 anak damit berjaya dilahirkan hasil daripada rawatan kesuburan Sunfert.

    Perkasa IVFKasih tingkat kadar kehamilan

    Walaupun dikenali sebagai antara pusat kesuburan gah di negara ini, Sunfert tidak terkecuali melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat khususnya mereka yang tidak berkemampuan.

    Dr Eeson berkata, menerusi program IVFKasih, Sunfert komited membantu pasangan membina keluarga dengan kos rendah tanpa mengurangkan kadar kehamilan.

    “Kami membantu pasangan yang mempunyai bajet rendah tetapi berkeinginan tinggi untuk mendapatkan anak selain membantu pasangan muda yang sedang dalam senarai menunggu di hospital kerajaan.

    “Pasangan muda yang menunggu terlalu lama ini akan lanjut usia dan ini akan menyebabkan mereka kurang subur, keadaan itu akan menyebabkan peratusan mereka mendapatkan anak akan menjadi rendah,” katanya berharap program itu akan membantu lebih ramai pasangan yang berkeinginan membina keluarga pada masa akan datang.

    Program IVFKasih dirasmikan pada tahun 2016 oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga pengasas dan presiden seumur hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TFF). – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...