Ketika kemelut rumah tangga yang masih belum berkesudahan, pelakon Puteri Sarah tampil meluahkan rasa yang terbuku dalam hatinya menerusi lirik lagu Terus nyanyian Sarah Fazny dan Zayani.
Berkongsi mengenai pembabitannya sebagai penulis lirik, Sarah, 38, berharap karya ini dapat memberikan inspirasi kepada wanita lain yang melalui nasib sama untuk terus bangkit berdepan ujian.
“Lagu ini memang mengisahkan tentang apa yang terjadi kepada diri saya.
“Apa yang berlaku selama ini saya ceritakan dan terjermahkan menjadi sebuah karya yang terus mewakili isi hati saya,” katanya.
“Saya gembira karya ini akhirnya dapat menemui pendengar hari ini. Setidaknya mereka yang di luar sana yang senasib dengan saya dapat bangkit dan meneruskan kembali hidup seperti dulu.
“Sehebat mana pun kemelut yang berlaku, jangan sesekali meratapi apa yang berlaku.
“Saya mahu mereka yang senasib dengan saya bangkit dan teruskan kehidupan,” katanya kepada mStar.
Tambah isteri kepada pengarah Syamsul Yusof ini, dia juga memilih tarikh pelancaran lagu itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia. Malah, Hari Wanita Sedunia ini juga jatuh pada hari ulang tahun kesembilan perkahwinannya dengan Syamsul.
Biarpun status perkahwinannya dengan Syamsul masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah, Sarah berkata apa yang berlaku dalam rumah tangganya itu bukan alasan untuk dia terus bersedih. – Agensi
