WASHINGTON, 25 OGOS – Presiden Rusia, Vladimir Putin kelmarin mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang maut baru-baru ini apabila pesawat peribadi yang membawa ketua kumpulan tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin terhempas di wilayah Tver Rusia, dilaporkan membunuh 10 orang.
“Mengenai nahas pesawat, pertama sekali, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa.
Ia sentiasa merupakan satu tragedi,” United Press International (UPI) memetik Putin sebagai berkata semasa pertemuan dengan pemimpin Republik Rakyat Donetsk yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa, Denis Pushilin.
Prigozhin bangkit daripada seorang penjenayah kecil yang berkhidmat selama 12 tahun kerana rompakan bersenjata di Kesatuan Soviet kepada seorang penjual hot dog yang menjana kekayaannya dalam perniagaan restoran dan katering sepanjang tempoh kekacauan berikutan keruntuhan Kesatuan Soviet.
Semasa pemerintahan Putin, Prigozhin menjadi kontraktor utama yang menyediakan perkhidmatan makanan kepada tentera Rusia.
Pada 2014, semasa pencerobohan pertama Rusia di Timur Ukraine, Prigozhin menubuhkan kumpulan Wagner sebagai pasukan bantuan persendirian untuk menyokong pemisah proRusia. – Bernama
