MOSCOW, 27 JULAI – Rusia akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kerjasama, termasuk berkaitan penghantaran bijirin dan baja ke negara Afrika pada sidang kemuncak kedua Afrika di St Petersburg yang bermula hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Sepuluh hari yang lalu, Rusia enggan melanjutkan perjanjian yang membenarkan eksport hampir 33 juta tan bijirin Ukraine dan produk makanan lain melalui Laut Hitam.
Disebabkan sekatan tentera laut akibat perang dengan Ukraine, Rusia telah berdepan kritikan antarabangsa kerana menyekat sejumlah besar gandum dan jagung daripada pasaran dunia, menyebabkan harga makanan melonjak.
Ukraine dan Rusia dianggap sebagai penyumbang produk bijirin terpenting untuk membantu memerangi masalah kelaparan di dunia.
Selain isu keterjaminan makanan, sidang kemuncak itu juga dijangka menyentuh mengenai memperluas perdagangan. Rusia adalah pembekal senjata utama ke Afrika.

Pada pertemuan dengan pemimpin beberapa negara Afrika, Presiden Vladimir Putin cuba memperlihatkan bahawa beliau tidak terasing di peringkat antarabangsa walaupun perang berterusan.
Beliau juga berhasrat untuk meneruskan perbincangan mengenai inisiatif damai yang melibatkan negara-negara Afrika untuk menyelesaikan konflik di sekitar Ukraine, seperti yang diumumkan oleh Kremlin.
Menurut Kremlin, wakil dari 49 daripada 54 negara Afrika akan menghadiri mesyuarat itu. Penyertaan pada tahun ini meningkat sedikit berbanding ketika sidang kemuncak sulung pada tahun 2019.
Kremlin menuduh Barat menekan negara-negara lain supaya tidak menghadiri mesyuarat itu.
Sidang kemuncak itu dijangka menghasilkan satu lagi deklarasi bersama seperti yang dikeluarkan pada 2019 di pusat peranginan Sochi yang terletak di Laut Hitam. – Bernama