Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PWM mahu hantar skuad wusyu ke China

    KUALA LUMPUR, 17 SEPT – Persatuan Wushu Malaysia (PWM) bakal menghantar skuad wusyu ke kem latihan di China dalam usaha menggilap kemahiran mereka menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.

    Presiden PWM, Datuk Chong Kim Fatt berkata badan induk sukan wusyu negara itu akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengemukakan perancangannya itu dalam masa terdekat.

    Chong berkata perkara itu adalah penting kerana seramai lima orang atlet muda Malaysia menduduki tempat keempat pada Kejohanan Wusyu Asia ke-10 di Macau minggu lepas yang menunjukkan Malaysia masih mempunyai ramai pelapis sukan itu namun memerlukan masa untuk mengasah kemahiran mereka.

    “Kem latihan ini sangat penting untuk asah lagi mereka supaya selepas ini boleh memperoleh pingat emas dan perak. Atlet yang beraksi di Kejohanan Wusyu Asia baru-baru ini ramai juga atlet muda, jadi kita perlu latihan intensif di luar negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Kim Fatt berkata program kem latihan itu akan bermula pada awal tahun depan kerana skuad Malaysia berdepan beberapa kejohanan sebelum tamat tahun ini iaitu Piala Dunia Taolu 2024 di Jepun Oktober ini diikuti Kejohanan Wusyu ASEAN di Nandong, China pada November.

    Minggu lepas, skuad wusyu Malaysia menutup kempen Kejohanan Wusyu Asia ke-10 di Macau dengan cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat emas, empat perak dan tiga gangsa pada kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 15 September.

    Pingat emas pertama Malaysia muncul menerusi atlet wusyu lelaki, Bryan Ti Kai Jie dalam acara nanquan lelaki (9.696 mata), Tan Cheong Min dalam acara nandao wanita (9.693) selain acara duilian lelaki turut menyumbang satu emas menerusi Muhammad Danish Aizad, Si Shin Peng dan Bryan (9.593). – Bernama

    Aksi atlet wushu Pulau Pinang, Muhammad Danish Aizad dalam acara Gunshu kategori lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada 16 Ogos lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda