Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    PWM sedia berdamai dengan Seksyen Sukan BPS KPT

    KUALA LUMPUR, 20 OKT – Persekutuan Wusyu Malaysia (PWM) sedia menyambut salam perdamaian dengan Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik (BPS) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menjernihkan konflik antara kedua-dua pihak.

    Presiden PWM, Datuk Chong Kim Fatt menyerahkan kepada pihak Seksyen Sukan BPS KPT bagi mengatur pertemuan sekali gus menyelesaikan kemelut melanda kedua-dua pihak selama ini.

    “Saya harap mereka boleh keluarkan surat jemputan dahulu sebelum berjumpa kami,” katanya ketika ditemui.

    Beliau juga berharap agar seksyen sukan itu mampu merangka prosedur operasi standard jelas berhubung tindakan mempelawa atlet di bawah naungan PWM bagi menyertai sebarang kejohanan atau temasya sukan dikelolakan KPT.

    Semalam, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan BPS KPT, Datuk Dr Pekan Ramli ketika dihubungi berkata pihaknya bersedia berjumpa dengan PWM bagi menjernihkan semula keadaan demi kebaikan atlet wusyu Malaysia.

    Terdahulu, Kim Fatt pada satu sidang media memaklumkan PWM membuat keputusan drastik memutuskan segala bentuk kerjasama dengan Seksyen Sukan BPS KPT berkuat kuasa serta-merta.

    Bekas ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 itu berkata keputusan tersebut menyaksikan PWM tidak akan menyertai sebarang kejohanan dikelolakan Seksyen Sukan BPS KPT termasuk temasya seperti Sukan Universiti Dunia (Universiade) dan Sukan Universiti ASEAN selepas ini.

    Beliau mendakwa antara isu membuatkan PWM ‘hilang sabar’ sejak mula bekerjasama pada 2012 termasuk Seksyen Sukan BPS KPT tidak mengutus surat permohonan kepada badan induk itu untuk menyenarai atlet wusyu negara bagi menyertai sebarang kejohanan.

    Selain itu, seksyen berkenaan juga tidak menyatakan penghargaan kepada mereka sekiranya atlet pulang dengan kejayaan membanggakan pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan disertai. – Bernama

    Kim Fatt bercakap dalam sidang media berkenaan laporan keseluruhan prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022, baru-baru ini. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...