Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Syed Harith bin Syed Rozman dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) dan Awang Muhammad Daniyal Mateen bin Adris dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) muncul johan bagi kategori masing-masing dalam Pertandingan Mari Bercerita 2022 Peringkat Akhir yang berlangsung pagi tadi di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Syed Harith yang berjaya memperoleh mata 82 peratus diumumkan sebagai johan dalam Kategori A (Bahasa Melayu) diikuti dengan Awang Muhd Za’eem Ukhrawi bin Hamdi dari SASHHB, dengan markah 79 peratus dan Awang Muhammad Nur Aiman bin Abdullah Mohammad Asmal Edhris @ Muhammad Nur Islam menduduki tempat ketiga dengan markah 72.5 peratus.
Sementara itu, Awang Muhammad Daniyal Mateen pula muncul johan dalam Kategori B (Bahasa Inggeris) dengan perolehan markah 92 peratus diikuti dengan Mohammad Na’emuddin Khan bin Alif Khan dari Sekolah Tinkerbell Learning dengan 80 peratus markah dan Dayang Bushraa Fatihah binti Haji Azman di tempat ketiga dengan 79.5 peratus markah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyampaikan hadiah kepada para peserta ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad.
Lapan daripada 71 peserta bertanding di peringkat akhir terdiri daripada murid-murid sekolah rendah kerajaan dan bukan kerajaan di keempat-empat daerah yang berusia lapan hingga 12 tahun.

Pertandingan anjuran Bahagian Perpustakaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KKBS sebagai projek tahunan itu merupakan salah satu strategi DBP untuk melahirkan generasi yang berilmu, berpengetahuan, berwawasan dan maju dalam segenap lapangan demi kemajuan bangsa, agama dan negara.
Tujuan pertandingan itu adalah untuk melatih kanak-kanak supaya berani berhadapan di khalayak dan membiasakan mereka petah dan lancar dalam menyampaikan cerita, berfikiran kreatif, terbuka dan berkeyakinan diri dalam mengekspresikan idea mereka.
Pada tahun ini, format pertandingan diubah untuk memastikan para peserta yang menyertai pertandingan ini mempunyai kebolehan membuat dan menceritakan cerita hasil ciptaan sendiri.
Semasa ditemui pihak Media Permata, Syed Harith yang menjuarai kategori A mengongsikan perasaan terujanya kerana segala usaha yang dilakukan sejak lebih tiga minggu lalu membuahkan hasil meskipun terpaksa membahagikan serta mengatur masa dengan bijak untuk membuat persiapan bagi pertandingan hari ini dan pembelajarannya.
Di samping guru-gurunya yang banyak membantunya dalam mempersiapkan material persembahan hari ini, ibu bapanya turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelancaran persembahannya yang bertajuk ‘Kisah Pak Samad dan Anaknya’.
Sementara itu, Awang Mu-hammad Daniyal Mateen yang menampilkan persembahan cukup memukau bertajuk ‘Pyaar: Love’ semasa ditemui turut mengongsikan idea persembahannya yang bergenre Bollywood mula tercetus kerana kebolehannya dalam menggunakan loghat India dengan baik dan beliau memerlukan masa beberapa minggu untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh meskipun semasa musim peperiksaan.
Dalam kesempatan yang sama beliau turut mengongsikan kata-kata semangat Do, the hard work especially if you feel don’t like it, yang maksudnya ‘Lakukan kerja itu bersungguh-sungguh meskipun kamu tidak menyukainya’.