BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang kelmarin berkenan menerima mengadap Presiden Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama Abdulla Shahid, yang mengadakan lawatan ke negara ini selama tiga hari pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama telah berbincang mengenai peranan Negara Brunei Darussalam dalam mengukuhkan hubungan pelbagai hala, serta keutamaan Tuan Yang Terutama sepanjang menjadi presiden Perhimpunan Agung PBB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama, yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Maldives, turut menyentuh mengenai perkara-perkara berkaitan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Maldives.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
Lawatan terakhir Tuan Yang Terutama ke negara ini ialah pada Mac 2020 untuk berbincang mengenai pengukuhan hubungan dua hala serta penerokaan bidang-bidang kerjasama yang baharu untuk memanfaatkan kedua-dua buah negara.