Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PZM-8 tanamkan rasa cinta persaudaraan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah ke-8 (PZM-8) yang menghubungkan silaturahim antara warga FEKIm UNISSA dengan penduduk daif.

    Majlis penyerahan bantuan PZM-8 kepada sembilan buah keluarga terpilih dari Mukim Labi telah diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait.

    Sumbangan berupa wang tunai dan makanan asasi itu diharap sedikit sebanyak dapat membantu golongan sasaran membuat persiapan menyambut bulan Syawal.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyerahan bantuan PZM-8 kepada keluarga sasaran Mukim Labi ialah Dekan, FEKIm UNISSA, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

    Turut hadir ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; Timbalan Dekan FEKIm, Dr Amnisuhailah binti Abarahan, imam-imam Masjid Kampung Sungai Liang, para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi Tahun 1 dan 3, FEKIm UNISSA.

    Antara objektif PZM-8 adalah untuk mendekati dan berkhidmat kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan bantuan di samping menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu untuk mahasiswa dan mahasiswi FEKIm UNISSA.

    Terdahulu sebelum penyampaian sumbangan itu, Majlis Khatam Al-Quran juga telah diadakan dan diserikan lagi dengan tazkirah bertajuk ‘Masyarakat Peduli Pemangkin Ummah’ yang disampaikan oleh Penolong Profesor, FEKIm UNISSA, Dr Kamaru Salam bin Yusof.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir semasa menghadiri PZM-8 yang bertempat di Masjid Sungai Liang.- Gambar serahan UNISSA
    Profesor Madya Dr Abdul Nasir bergambar ramai bersama keluarga sasaran PZM-8 Mukim Labi dan Tetamu-Tetamu Khas di Masjid Sungai Liang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda