Oleh Salawati Haji Yahya
TEMBURONG, 27 MAC – Dalam usaha untuk mendekati dan berkhidmat kepada masyarakat di luar bandar yang memerlukan bantuan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah (PZM) ke-7 ke daerah ini, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 15 buah keluarga dari Daerah Temburong telah dipilih sebagai keluarga sasaran program berkenaan yang akan menerima bantuan berupa wang tunai dan keperluan asas harian.
PZM yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar itu bertujuan untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu bagi mahasiswa dan mahasiswi FEKIm.
Dalam program berkenaan, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada keluarga sasaran.
Disebabkan penularan wabak COVID pada masa ini, PZM pada kali ini tidak dijalankan seperti biasa demi menjaga keselamatan bersama.
Dekan FEKIm, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dalam ucapannya menjelaskan, PZM versi COVID ini sedikit berlainan daripada yang sebelumnya di mana aktiviti membersihkan dalaman dan persekitaran rumah-rumah keluarga sasaran, tilawah, khatam Al-Quran, qiamullail dan bermalam di masjid telah ditiadakan bagi mematuhi SOP dalam mengawal penularan COVID-19.
Manakala itu, kriteria pemilihan keluarga sasaran program ialah mereka yang terdiri daripada warga emas, kurang upaya, saudara baharu, keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau keluarga besar yang berpendapatan rendah untuk menyara keperluan harian.
Menurut beliau, buat julung kalinya juga PZM anjuran FEKIm UNISSA, dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menjelajah ke daerah berkenaan bagi memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan jalinan ukhuwah Islamiah sesama penduduk Islam di daerah itu.
Majlis diserikan lagi dengan ceramah khas bertajuk ‘Membahagiakan Hati Orang Lain dengan Rezeki Kitani’ yang disampaikan oleh pensyarah dari FEKIm, Profesor Dr Razali bin Mat Zin.
