Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Qari, qariah mula perdengar bacaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Para peserta qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M Peringkat Saringan mula memperdengarkan bacaan masing-masing di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia, hari ini.

    Seramai 53 qari dan 31 qariah akan memperdengarkan bacaan mereka dalam peringkat saringan yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini dan akan disambung pada 12 dan 14 Mei.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 30 peserta akan dipilih untuk ke peringkat separuh akhir pada 29 Mei dan seterusnya lima peserta qari dan lima peserta qariah termasuk johan menunggu qari dan qariah 2021 akan bertanding di peringkat akhir.

    Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKB) yang dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan sejak tahun 1980an dan telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia berkali-ber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

    Ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum.

    Peserta musabaqah berumur antara 15 hingga 30 tahun yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap dan tidak pernah menjadi johan pertandingan-pertandingan seperti Majlis Tilawah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran kerajaan Malaysia atau Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

    Orang ramai terutamanya para belia boleh menyaksikan musabaqah tersebut secara langsung melalui akaun rasmi Instagram @jbs.bn dan Facebook Jabatan Belia dan Sukan.

    Salah seorang qari ketika memperdengarkan bacaannya pada peringkat saringan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...