Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Qatar bebaskan lapan bekas tentera laut India

    NEW DELHI, 12 FEB – Kementerian Luar India berkata hari ini Qatar telah membebaskan lapan bekas tentera laut yang pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman mati, yang telah dilaporkan mengintip untuk Israel.

    Kementerian luar tidak pernah memberikan butiran mengenai lapan warga India itu atau dakwaan jenayah mereka dan Qatar tidak mengulas mengenai kes itu atau membuat pertuduhan kepada umum.

    Tetapi media India melaporkan lelaki itu antaranya ialah bekas pegawai berpangkat tinggi dan dianugerahkan pingat, termasuk kapten yang pernah memerintah kapal perang, yang ditangkap di Doha pada Ogos 2022.

    Pada Oktober lalu, India berkata ia ‘terkejut’ selepas mahkamah Qatar menjatuhkan hukuman mati kepada mereka, tetapi hukuman itu dikurangkan pada Disember.

    Lapan orang lelaki itu adalah pekerja Al Dahra, sebuah syarikat yang berpangkalan di Teluk yang menawarkan ‘penyelesaian sokongan lengkap’ kepada sektor aeroangkasa, keselamatan dan pertahanan, menurut laman webnya.

    Akhbar Hindu melaporkan lelaki tersebut mengintip untuk ‘negara ketiga,’ manakala menurut Times of India ‘pelbagai laporan mendakwa mereka dituduh mengintip untuk Israel.’

    New Delhi berkata kesemua lelaki itu telah dibebaskan hari ini.

    “Kerajaan India mengalu-alukan pembebasan lapan warga India yang bekerja untuk syarikat Dahra Global yang ditahan di Qatar,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.

    “Tujuh daripada lapan orang telah kembali ke India,” tambahnya, berterima kasih kepada Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, atas keputusan ‘untuk membolehkan pembebasan dan kepulangan’ para tahanan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...