DOHA, 9 Julai – Qatar hari ini mengumumkan bahawa ia telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menuntut pampasan yang berpotensi bernilai berbilion dolar gara-gara ‘sekatan’ yang dikenakan oleh negara-negara Teluk.
Peguam Negara Qatar, Ali bin Fetais al-Marri berkata, Jawatankuasa Tuntutan Pampasan akan menangani kes termasuk syarikat besar seperti Qatar Airways dan pelajar individu Qatar yang telah diusir dari negara-negara tempat mereka belajar.
“Jawatankuasa ini akan menerima semua aduan sama ada dari sektor awam, swasta atau individu,” kata Marri kepada wartawan dalam satu sidang akhbar di Doha.
Plaintif yang berpotensi seperti Qatar Airways, bank atau individu akan dapat memfailkan tuntutan ke atas apa yang telah disifatkan oleh Doha sebagai ‘kepungan’ di mahkamah di tanah air dan di luar negara termasuk di Paris dan London, kata Marri.
Pada 5 Jun, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir mengumumkan mereka telah memutuskan semua hubungan dengan Qatar selepas menuduh Doha menyokong pelampau.
Empat negara berkenaan memanggil semua diplomat mereka dari Qatar, menggantung semua penerbangan pergi dan balik ke Doha serta mengarahkan semua warga Qatar untuk pulang ke tanah air mereka dalam masa 14 hari.
Qatar mengatakan beribu-ribu warganya telah terjejas akibat langkah pengasingan dalam apa yang muncul sebagai krisis diplomatik yang paling buruk melanda negar-negara Teluk pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Kebangsaan Doha pada bulan Jun berkata, sekatan itu mewakili pelanggaran hak-hak 140 pelajar Qatar yang belajar di UAE, Arab Saudi dan Bahrain.
Qatar Airways menjadikan Doha hab global hanya dalam beberapa tahun tetapi pakar mengatakan larangan ruang udara oleh negara-negara jiran mengancam kedudukannya sebagai syarikat penerbangan utama rentas benua.
Pada 22 Jun, empat negara Arab mengeluarkan senarai 13 tuntutan termasuk memutuskan hubungan dengan Iran dan menutup stesen penyiaran Al-Jazeera sebagai syarat untuk mengelakkan sekatan.
Doha enggan mematuhi tuntutan berkenaan dan menafikan tuduhan hubungan dengan kumpulan pelampau.
Jawatankuasa Tuntutan Pampasan Qatar berkenaan akan diawasi oleh Marri serta para pegawai dari Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Keadilan. – AFP