Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rafizi, Premier Sarawak bincang RUU perdagangan karbon

    KUCHING, 30 OKT – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri kabinet negeri bagi membincangkan Rang Undang-undang (RUU) berhubung perdagangan karbon.

    Rafizi berkata perbincangan berkenaan tertumpu kepada usaha mengharmonikan undang-undang di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum RUU itu dibentangkan pada penghujung tahun ini.

    “Semangatnya ia adalah untuk memastikan Sarawak dan juga Malaysia dapat melaksanakan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dengan secepat mungkin mengikut perancangan yang dibuat dan proses itu akan terus berjalan.

    “Saya berasa lega apabila mengetahui semua pihak bersetuju untuk memastikan kejayaan kemajuan Malaysia, kerana CCUS adalah satu aktiviti berteknologi tinggi yang memacu lonjakan ini ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

    Rafizi berkata jika Malaysia dapat melaksanakan perdagangan karbon dengan berjaya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia akan meletakkan Malaysia di hadapan dan menjadikan Sarawak sebagai pemain utama di peringkat serantau.

    Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata RUU CCUS akan dibentangkan di Parlimen pada November depan.

    Beliau berkata penggubalan undang-undang nyahkarbon itu bertujuan mengawal selia aktiviti berkaitan, sekali gus menarik lebih ramai pelabur ke negara ini. – Bernama

    Rafizi Ramli berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 bersama kerajaan Sarawak, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda