Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, menyemarakkan Nuzul Al-Quran dengan ceramah dan sumbangan derma sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bankuet, Bangunan JPM.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 40 warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Turut hadir ialah timbalan-timbalan menteri di JPM, setiausaha-setiausaha tetap dan pemangku setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis turut diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian dengan Petunjuk Al-Quran’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.
Majlis disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang dipimpin oleh kumpulan dikir dari Pasukan Polis Diraja Brunei.
Manakala itu, Doa Selamat dibacakan oleh Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Majlis tersebut dikendalikan bersama oleh Bahagian Sekuriti dan Undang-undang, JPM, Jabatan Audit dan Biro Mencegah Rasuah.



