Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei Darussalam telah mengadakan upacara menaikkan bendera kebangsaan bersempena ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China (PRC), yang diadakan di halaman depan kedutaan berkenaan di Kampung Sungai Hanching, hari ini.
Hadir pada upacara tersebut ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong, berserta pasangannya.
Juga hadir ialah kakitangan kedutaan berkenaan dan rakyat China yang sedang bekerja dan menetap di Brunei.
Semasa upacara tersebut, semua yang hadir turut menyanyikan lagu kebangsaan negara mereka dalam suasana yang penuh dengan penghormatan. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Puan Yang Terutama sebelum semua tetamu disajikan masakan tradisional Cina sebagai tanda berakhirnya upacara.
